Tidak kisah andai isu ISO dijadikan modal kempen

Tidak kisah andai isu ISO dijadikan modal kempen

ABIDIN Ismail enggan mengambil kisah andai isu sijil ISO miliknya dijadikan modal untuk berkempen pada PRK bagi kerusi DUN Sungai Bakap ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail menyifatkan isu sijil ISO (Pertubuhan Antarabangsa untuk Piawaian) miliknya yang dijadikan ‘modal’ oleh pihak lawan ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap ini bukan satu masalah besar.

Enggan melayan dan mengulas perkara tersebut, beliau yang ditemui pada Ceramah Kelompok PN di Unit Daerah Mengundi (UDM) Sungai Duri di sini, malam tadi berkata, penjelasan berhubung isu terbabit sudah pun dibuat sebelum ini.

“Itu (isu ISO) tak ada apa. Semua orang tahu, tak apa lah. Hari itu saya (sudah) beritahu, tak ada masalah.
Kalau ‘depa’ (mereka) nak buat modal pun, saya tak kisah,” katanya.

Semalam, media melaporkan Abidin membuat penjelasan secara terbuka mengenai kesahihan sijil ISO yang dimilikinya.

Menurut Abidin, dia tidak menafikan ada sedikit kesilapan berhubung perkara itu semasa latar belakangnya diumumkan oleh pemimpin Pas pada majlis pengisytharan calon, 15 Jun lalu.

“Sebenarnya sijil ISO bukan untuk individu, tetapi mana-mana syarikat atau badan-badan berkanun pun perlu ada ISO, piawaian pelanggan itu perlu ada ISO,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengelak daripada mengulas mengenai tafsiran pengundi terhadapnya berhubung kesahihan maklumat yang dilampirkan dalam poster biodata calon.

Ia susulan biodata terbabit memaparkan tempoh perkhidmatan beliau sebagai eksekutif logistik di sebuah syarikat daripada tahun 1992 sehingga tahun 2022 sedangkan syarikat terbabit telah pun ditutup pada tahun 2020.

“Tak apalah, biar orang tafsir. Itu hak masing-masing. Saya tak mahu komen. Ada kuasa Tuhan, Allah akan tentukan, itu hak dia,” katanya ringkas.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×