Perarakan kenderaan berhias Terengganu meriah - Utusan Malaysia

Perarakan kenderaan berhias Terengganu meriah

Kenderaan berhias
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Lebih 10,000 rakyat Terengganu tidak melepaskan peluang menyaksikan perarakan kenderaan berhias sempena sambutan Hari Keputeraan ke-62 Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi.

Mereka mula membanjiri di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu, di sini, sejak pukul 6.30 petang untuk tidak ketinggalan menyaksikan kemeriahan perarakan tersebut.

Perarakan itu melibatkan jarak sejauh kira-kira empat kilometer itu bermula dari Bulatan Teluk Ketapang dan berakhir di Seberang Takir di sini.

Sultan Mizan Zainal Abidin turut berkenan mencemar duli berangkat menyaksikan perarakan kenderaan berhias itu yang melibatkan penyertaan lapan pasukan.

Keberangkatan baginda turut diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Fatimatuz Zahra Sultan Mizan Zainal Abidin.

Menyambut keberangkatan tiba kedua-dua baginda ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Lapan kenderaan yang menyertai perarakan itu mewakili kesemua lapan daerah di Terengganu iaitu Pejabat Daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang, Dungun, Hulu Terengganu, Setiu, Besut dan Kemaman.

Selain itu, perarakan beca daripada 16 anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri dan pusat termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga diadakan bagi memeriahkan pertandingan tersebut.

Rakyat Terengganu yang hadir cukup teruja menyaksikan keunikan yang dihasilkan semua peserta kenderaan berhias pada tahun ini.

Perarakan kenderaan berhias itu bertujuan menonjolkan keistimewaan produk di setiap daerah dan agensi yang ada di Terengganu melalui rekaan, struktur dan simbolik hiasan yang dihasilkan pada kenderaan dan beca.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×