KUALA TERENGGANU: Seramai 20 pelajar dari dua buah sekolah di sini terharu apabila berpeluang memberi hadiah kepada guru kesayangan mereka sempena sambutan Hari Guru, hari ini.
Pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Negara dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Bariah adalah daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat tajaan hadiah sepasang baju kurung batik daripada Noor Arfa holdings Sdn. Bhd.
Pelajar tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Bariah, Puteri Ayuni Balqis Muhammad Bahari, 10, berkata, dia gembira kerana dapat memberikan hadiah itu kepada guru Sains sekolahnya, Nor Risah Aziz, 54.
“Hadiah itu sangat cantik, ada riben dan saya seronok sangat dapat memberikannya kepada Cikgu Nor Risah.
“Saya harap cikgu sentiasa sihat, dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki selalu kerana sentiasa mengajar saya dengan baik dan penuh kesabaran,” katanya ketika ditemui di SK Tengku Bariah, di sini, hari ini.
Seorang murid Tahun Tiga, Ahmad Nor Farhan Fardani pula berkata, dia gembira kerana dapat memberikan hadiah tersebut kepada guru Bahasa Inggeris, Rohaila Abdullah, 50.
“Seronok tengok cikgu tersenyum gembira apabila dapat hadiah itu bila saya serahkan tadi.
“Cikgu pesan agar saya belajar sungguh-sungguh dan saya janji kepada cikgu untuk cemerlang matapelajaran Bahasa Inggeris dalam peperiksaan tidak lama lagi,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pemasaran Noor Arfa Batik, Wan Farhana Wan Tazilah berkata, sebanyak dua buah sekolah terpilih untuk menerima tajaan baju kurung daripada syarikat tersebut.
“Kita pilih 10 murid setiap sekolah iaitu SK Tengku Bariah dan SMK Padang Negara untuk menerima tajaan hadiah hari ini,” ujarnya. – UTUSAN










