KUALA LUMPUR: Seramai 18,241 guru baharu sudah ditempatkan di sekolah seluruh negara dengan kadar pengisian mencapai 98 peratus setakat bulan lalu.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, penempatan guru baharu itu bagi memastikan beban pengajaran dapat diagihkan secara lebih seimbang.
Katanya lagi, ia juga adalah sebahagian daripada pelbagai inisiatif berterusan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mengurangkan beban tugas serta memelihara kesejahteraan fizikal, emosi dan psikologi warga pendidik.
“KPM sudah melaksanakan tujuh Langkah Segera Kesejahteraan Guru sejak 2023 yang mengurangkan tugasan bukan akademik.
“Ia termasuk memansuhkan pertandingan atau majlis tanpa impak besar, meluaskan pelantikan pengawas peperiksaan awam dalam kalangan bukan guru, serta memperkukuhkan autonomi guru dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP).
“KPM turut memansuhkan pengisian elemen ‘Amalan Baik’ dalam Sistem Salah Laku Disiplin Murid (SSDM) pada Disember 2025, selain memansuhkan perekodan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) secara manual berkuat kuasa 16 Mei lalu bagi mengurangkan beban pengurusan secara manual,” katanya menerusi jawapan bertulis dalam laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berhubung keberkesanan inisiatif ‘Teacher Care’ dan pelan jangka panjang KPM dalam menangani isu kelesuan melampau serta kesejahteraan emosi guru.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, penambahan tenaga sokongan seperti 564 Pembantu Guru (MyPG) dan 300 Pembantu Warden menerusi MySTEP serta pemansuhan Sistem Pengurusan Latihan KPM (SPLKPM) turut membantu memudahkan urusan harian guru.
“Penggunaan teknologi digital seperti platform Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) dan Sistem Pengurusan Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (MOEIS) juga dimanfaatkan secara meluas.
“Dari segi kesejahteraan emosi dan mental, KPM merancang pelaksanaan pemprofilan Inventori Kesejahteraan Psikologi (IKPsi) kepada semua guru dalam tempoh lima tahun bagi pusingan pertama.
“Guru yang belum mencapai tahap kesejahteraan psikologi sekurang-kurang pada tahap sederhana tinggi, akan diberikan intervensi khusus oleh kaunselor berdaftar mengikut keperluan.
“KPM turut menyediakan Hab Kesejahteraan Psikologi secara dalam talian serta melatih 40 kaunselor pendidikan dan guru bimbingan kaunseling dalam pengkhususan kesihatan mental bagi memperkukuhkan keupayaan menangani isu krisis pada peringkat organisasi,” katanya. – UTUSAN











