Perak setuju bekal air ke Pulau Pinang berita terbaik sejak lima dekad - PBAPP

Perak setuju bekal air ke Pulau Pinang berita terbaik sejak lima dekad – PBAPP

K. PATHMANATHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Perak akan membekalkan air terawat ke Pulau Pinang adalah salah satu daripada berita berkaitan air terbaik untuk Pulau Pinang dalam tempoh lima dekad yang lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir. K. Pathmanathan berkata, ini kerana Pulau Pinang perlu segera meneroka sumber air utama yang kedua untuk memenuhi keperluan airnya dan memacu kemajuan sosioekonomi seterusnya menjelang 2030.

“Projek bekalan air utama terakhir yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan untuk Pulau Pinang ialah Skim Air Sungai Muda yang dibuka oleh Perdana Menteri Malaysia kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak bin Hussein, pada tahun 1973.

“Sepanjang 51 tahun yang lalu juga, Pulau Pinang telah menjadi sangat bergantung kepada Sungai Muda sebagai satu-satunya sumber air mentahnya,”katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Pathmanathan berkaat, Projek Air Perak-Pulau Pinang dijangka memberi manfaat kepada Pulau Pinang dan membantu mencukupkan bekalan air selepas 2030.

“Pada Februari 2024, penggunaan air Pulau Pinang ialah 927 juta liter sehari (JLH). Permintaan air pula dijangka mencecah 1,532 JLH menjelang 2030 dan 1,844 JLH menjelang 2040.

“Justeru, PBAPP sedang melaksanakan Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030)untuk memastikan bekalan air mencukupi sehingga 2030. Melangkaui 2030, Pulau Pinang memerlukan Projek Air Perak Pulau Pinang atau penyahgaraman strategik dan projek kitar semula air sisa,” ujar beliau.

Tambah Pathmanathan, pembelian air dari Perak juga dijangka lebih murah berbanding penyahgaraman berskala besar atau kitar semula air sisa di Pulau Pinang.

Dalam pada itu, katanya, Projek Air Perak-Pulau Pinang akan menambah baik dan menstabilkan bekalan air untuk kira-kira 79,956 pengguna di Seberang Perai Selatan (SPS).

“Pada tahun 2023, penggunaan air di SPS dianggarkan sebanyak 182 JLH. Permintaan air di daerah ini diunjurkan mencecah 285 JLH menjelang 2030.

“Apabila Projek Air Perak-Pulau Pinang dilaksanakan, ia akan membekalkan air terus ke SPS dan berkemungkinan PBAPP tidak perlu mengepam air dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di Seberang Perai Utara (SPU) ke SPS,” katanya.

Sehubungan itu, dengan bekalan air dari Perak, pengguna air di SPS seharusnya tidak lagi terancam dengan Insiden Sungai Muda.

“Pada masa yang sama, PBAPP akan dapat menaik taraf pelan respons kecemasan (ERP) Sungai Muda untuk meminimumkan impak di SPU, SPT dan DBD,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×