Projek air Perak-Pulau Pinang kini di fasa akhir rundingan

Projek air Perak-Pulau Pinang kini di fasa akhir rundingan

CHOW Kon Yeow (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. K. Pathmanathan melihat pelan perancangan bekalan air di Pulau Pinang semasa menghadiri majlis perasmian AGM ke-26 PBAHB di George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Projek air Perak ke Pulau Pinang kini berada pada fasa akhir rundingan dengan perjanjian antara kedua-dua pihak dijangka dimeterai penghujung minggu depan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, majlis pemeteraian perjanjian itu dijangka berlangsung di Ipoh, Perak, namun, masih tertakluk kepada pemuktamadan rundingan terakhir antara kedua-dua pihak iaitu kerajaan Perak dan Pulau Pinang ketika ini.

“Secara tentatifnya, kita telah menetapkan minggu depan untuk kedua-dua pihak menandatangani perjanjian tersebut. Bagaimanapun ia (perjanjian) masih tertakluk kepada rundingan akhir yang sedang diperhalusi,” katanya dalam sidang akhbar sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-26, PBA Holdings Bhd. di sini, hari ini.

Projek air Perak-Pulau Pinang adalah inisiatif strategik mega untuk memindahkan air mentah dan air terawat bagi menampung permintaan air di utara Semenanjung selain bermatlamat untuk menyokong keperluan domestik serta perindustrian di negeri Pulau Pinang.

Kon Yeow berkata, perjanjian berkenaan dijangka turut mengandungi beberapa syarat terdahulu yang perlu dipenuhi sebelum ia dapat dikuatkuasakan sepenuhnya.

Katanya, pelbagai aspek teknikal juga masih diperhalusi oleh pakar dan pegawai kedua-dua pihak bagi memastikan setiap terma dalam perjanjian dipersetujui bersama.

“Apabila meneliti sesuatu perjanjian, terdapat banyak bahasa teknikal dan perkara yang perlu diperhalusi oleh pakar sebelum dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Jadi, semua perkara termasuk aspek harga telah dibincangkan, namun, penelitian lanjut masih diperlukan sebelum perjanjian itu ditandatangani,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan mengumumkan keputusan cadangan projek pemulihan tapak pelupusan sampah di Jelutong dan projek tambakan laut di Persiaran Karpal Singh selepas menerima respons daripada syarikat konsesi terhadap cadangan yang dikemukakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) itu.

Beliau berkata, dalam hal ini, pandangan penduduk setempat yang membantah projek berkenaan turut diambil kira dalam perbincangan antara kerajaan negeri dan syarikat terbabit.

“Oleh itu, apabila mereka (syarikat konsesi) memberi respons nanti, kita akan umumkan keputusan. Kita juga mengambil maklum pandangan rakyat dan perkara itu termasuk dalam perbincangan yang sedang dijalankan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN