KUALA LUMPUR: Beberapa lagi individu akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung penerbitan artikel mengenai rancangan pembangunan kasino di Forest City, Johor.
Setakat hari ini, seorang ketua pengarang sebuah portal berbahasa Inggeris tempatan sudah dipanggil bagi dirakam percakapannya berhubung penerbitan artikel tersebut.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, proses merakam percakapan ketua pengarang portal berita berbahasa Inggeris tersebut dilakukan pukul 8.30 pagi tadi.
“Beliau meminta untuk proses mengambil keterangannya dilakukan lebih awal dan siasatan lanjut masih dilakukan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman.
“Beberapa lagi individu akan dipanggil dalam masa terdekat untuk diambil keterangan berhubung siasatan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita ketika meninjau Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC Asia) 2024 di sini, hari ini.
Sebelum ini, agensi berita antarabangsa, Bloomberg mendakwa kerajaan mempertimbangkan meluluskan projek kasino di Forest City dan Pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan serta Lim Kok Thay terbabit dalam perbincangan dengan pihak kerajaan.
Laporan itu disifatkan fitnah oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan negeri Johor dan dua ahli perniagaan terbabit.
Susulan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998. – UTUSAN








