KUALA LUMPUR : Pemasangan dan pengoperasian 10,000 kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar ibu negara sejak 2020 merupakan langkah paling baik dalam membantu pihak polis dalam menjalankan siasatan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, kekuatan anggota yang ada di dalam pasukan ini tidak begitu besar, tetapi dengan kemajuan teknologi, pihak polis dapat mengenal pasti dan membantu penugasan.
“Sebab itu saya selalu menyeru di dalam pasukan penggunaan teknologi maklumat (IT) dan juga kecerdasan buatan (AI) ini perlu kita pertingkatkan dan perkemaskan,” katanya dalam sidang akhbar Sempena Majlis Pelancaran Perangi Scam: Dua Pasukan Satu Matlamat di sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, sebanyak RM500 juta dibelanjakan bagi pemasangan dan pengoperasian 10,000 CCTV bersepadu di sekitar ibu negara sejak 2020.
Inisiatif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Pihak Diraja Malaysia (PDRM) itu penting terutamanya dalam aspek keselamatan di ibu negara.
Kesemua kamera CCTV dipasang dan diintegrasikan di lokasi strategik termasuk jalan utama, persimpangan, kawasan awam dan pusat komersial dengan dilengkapi teknologi geo-fencing, pengecaman wajah, analitik tingkah laku dan siar raya bersepadu. – UTUSAN










