HULU SELANGOR: UMNO akan menyokong calon Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecik (PRK) Kuala Kubu Bharu, 11 Mei ini tanpa mengira dari parti mana.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, prinsip UMNO adalah menghormati kerusi-kerusi yang dimenangi oleh parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan semasa pilihan raya lalu.
Oleh itu, kata beliau, UMNO terus menyokong mana-mana calon yang akan diumumkan oleh Pengerusi Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Di dalam hal ini, jika ada permasalahan dan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan, saya berpendapat bahawa itu adalah pendirian parti masing-masing.
“(Namun), saya harapkan itu sementara sahaja dan jika kenyataan keluar kerana kecil hati disebabkan kenyataan dikeluarkan oleh rakan-rakan lain saya harap perkara ini dapat diselesaikan. Kita harus berada dalam keadaan harmoni politik,” katanya selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Berkelompok Cawangan-Cawangan UMNO Bahagian Hulu Selangor, di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, MCA dan MIC membuat keputusan untuk tidak berkempen pada PRK Kuala Kubu Baharu sekiranya calon bertanding bukan daripada komponen Barisan Nasional (BN).
Keputusan tersebut dibuat susulan Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN menyatakan pihaknya tidak akan menuntut kerusi Kuala Kubu Baharu, sebaliknya memberi laluan kepada rakan parti penyandang dalam Kerajaan Perpaduan iaitu DAP.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau sudah melakukan perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin MCA dan MIC.
Untuk rekod, PRK Kuala Kubu Bharu dijadual diadakan pada 11 Mei ini dan penamaan calon pula ditetapkan pasa 27 April ini.
PRK tersebut diadakan ekoran kematian penyandang kerusi tersebut Lee Kee Hiong, pada 21 Mac lepas. – UTUSAN










