PETALING JAYA: Afidavit Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi bukti beliau mengutamakan ketelusan dan amanah parti agar Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat perbicaraan adil.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, afidavit Presiden UMMO itu menjadi bukti beliau adalah teman sejati.
Menurut beliau, ini kerana bukan mudah seorang berjawatan Timbalan Perdana Menteri sanggup buat afidavit yang ada implikasi kepada kerajaan yang didukung ketika ini.
“Tetapi Ahmad Zahid membuktikan dia mengutamakan ketelusan dan amanah parti yang memutuskan UMNO perlu membela Najib dan bekas Perdana Menteri itu agar boleh mendapat perbicaraan adil.
“Afidavit Ahmad Zahid adalah titik tolak, ‘titah adendum’ wujud dan benar.
“PM (Perdana Menteri) mesti membetulkannya agar kerajaan tidak dituduh ingkar dan sembunyi kebenaran,” katanya.
Ahmad Zahid sebelum ini memfailkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau tambahan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Ahmad Zahid mengesahkan melihat dan membaca titah adendum itu yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman pemenjaraannya di rumah.- UTUSAN










