PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri N.06 Kuala Kubu Baharu, Selangor pada 4 April ini.
Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, mesyuarat khas tersebut akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, bagi membincangkan tarikh-tarikh penting bagi pelaksanaan PRK itu.
Tarikh-tarikh penting itu seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan serta persiapan-persiapan lain bagi melaksanakan pilihan raya tersebut akan dibincang dan diputuskan.
“SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Selangor, Lau Weng San berhubung dengan kekosongan luar jangka kerusi DUN itu berikutan kematian penyandangnya mendiang Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.
“Sebagaimana diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959, Bab 5 Fasal (5) Perkara LXX, kekosongan luar jangka tersebut hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan tersebut berlaku dan disahkan oleh SPR,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ikmalrudin pada masa sama memaklumkan satu sidang media akan diadakan sejurus selepas Mesyuarat Khas tersebut. – UTUSAN











