Jangan ambil tindakan ikut undang-undang sendiri - Saifuddin

Isu stoking: Jangan ambil tindakan ikut undang-undang sendiri – Saifuddin

SAIFUDDIN Nasution Ismail ketika sesi soal jawab pada Majlis Perjumpaan Khas Menteri Dalam Negeri Bersama Pengurusan Tertinggi Kementerian, Jabatan, Agensi dan Pengamal Media 2024 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan membenarkan mana-mana pihak mengambil tindakan mengikut undang-undang sendiri khususnya membabitkan isu stoking tertera kalimah Allah.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, agensi yang bertanggungjawab dalam isu berkenaan adalah hanya PDRM.

“Kita tidak akan biarkan pihak lain mengambil tindakan ikut undang-undang sendiri. Polis sahaja (uruskan isu itu) dan orang lain tak boleh.

“Kalau kita benarkan (pihak lain ambil tindakan), ia tidak bagus untuk negara,” katanya pada sesi soal jawab pada Majlis Perjumpaan Khas Menteri Dalam Negeri bersama Pengurusan Tertinggi Kementerian, Jabatan, Agensi dan Pengamal Media. 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pihak tertentu yang mengambil tindakan sendiri berhubung isu stoking tertera kalimah Allah termasuk komen dianggap menghina agama Islam.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan sempena Hari Polis hari ini telah memberi penjelasan seterang-terangnya mengenai isu stoking berkenaan.

Saifuddin menjelaskan, isu berkenaan sudah berada di bawah jalur hukum dan biarlah ia ditentukan mengikut undang-undang.

“Apakah kita mahu isu ini dipanjangkan dan terus berlarutan dan jawapannya tidak.

“Dalam uruskan isu rakyat ini, tiba-tiba kita sudah berminggu terpaksa fokus tajuk ini. Saya ingin jelaskan bahawa pendekatan terbaik adalah di mana ada aduan, ia diselesai, disiasat dan di bawa ke muka keadilan.

“Kita perlu pandang ke hadapan dan takkan nak berlegar di atas polemik sama. Adakah ini isu besar? Ya dan sekarang tindakan sudah diambil,” katanya.

Pada 13 Mac lalu, tular dalam media sosial isu stoking tertera kalimah ‘Allah’ dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Sabtu lalu, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dilaporkan memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah ‘Allah’, di beberapa cawangan kedai serbaneka itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×