KANGAR: Jika Usain Bolt dari Jamaica berjaya menang emas untuk kali ketiga berturut-turut di pentas Olimpik, jaguh lompat jauh negara, Datuk Abdul Latif Romly juga tidak mustahil mengikut jejak langkah sama sekali gus menjadi atlet Malaysia pertama mencipta hatrik memenangi emas di pentas Paralimpik.
Selepas memenangi emas dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) pada Sukan Paralimpik Rio, Brazil 2016 dan Tokyo, Jepun, pada 2020, Abdul Latif sekali lagi berpeluang mempertahan pingat emas tersebut pada edisi Paris 2024 September depan.
Jika menjadi kenyataan, Abdul Latif juga bakal terus mencipta sejarah tersendiri dengan muncul atlet pertama meraih habuan RM3 juta bagi tiga edisi Sukan Paralimpik.
Malah anak jati Kampung Paya Jati, Bukit Keteri, Perlis berusia 27 tahun itu juga menaruh keyakinan mencipta sensasi untuk merekodkan hatrik mempertahankan pingat emas berkenaan pada Sukan Paralimpik Paris.
Abdul Latif masih berada di landasan tepat mempertahankan emas Paralimpik apabila baru-baru ini berjaya meraih pingat emas di Kejohanan Grand Prix Olahraga Para Dunia Dubai 2024 dengan mencatat lompatan 7.11 meter dalam acara lompat jauh T20.
Malah pada Oktober tahun lalu, Abdul Latif juga memenangi pingat emas dalam Sukan Para Asia 2022 iaitu emas ketiga berturut-turut selepas turut memenanginya dalam temasya Incheon 2014 dan Jakarta-Palembang 2018.
Abdul Latif berkata, sememangnya menjadi harapannya mencipta hatrik emas Paralimpik dan untuk ke arah itu, dia perlu berusaha lebih gigih memandangkan para pesaing khususnya atlet dari Kanada, Greece dan Australia juga memberikan saingan yang cukup sengit.
Katanya, pada Mei depan, dia akan menyertai kejuaraan dunia sekali gus bakal menjadi platform bagi melihat prestasi semasa sebelum Paralimpik.
“Kalau persembahan baik, saya memang sasar hatrik pada Paralimpik selain ingin memecahkan rekod dunia 7.64 meter yang sudah lama tidak dipecahkan. Sasaran lompatan bagi memecahkan rekod dunia yang dipegangnya itu ialah 7.70 atau 7.80 meter
“Prestasi ketika ini dilihat dalam 50 ke 80 peratus dan saya masih ada masa sekitar dua bulan sebelum kejuaraan dunia ini.
“Saya memang yakin (cipta hatrik emas Paralimpik) namun dalam masa sama tidak mahu terlalu yakin. Hatrik Paralimpik penting memandangkan sebelum ini, tidak ada lagi yang cipta hatrik,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penghargaan Atlet Perlis 2023 dan Pelancaran Road To Sukma dan Para Sukma Sarawak 2024 di Dewan Warisan di sini semalam.
Pada majlis itu, Abdul Latif yang memenangi pingat Emas Sukan Para Asia Hangzhou 2022 menerima insentif dari kerajaan negeri sebanyak RM6,000 yang disampaikan oleh Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.
Tambah Abdul Latif, dia terus mempergiatkan latihan dan program yang diaturkan sebagai
persediaan menjelang sukan Paralimpik selain mempersiapkan mental dan menguatkan motivasi diri mencipta kejayaan tersebut.
“Saya perlu bersiap sedia dan terus menjalani latihan lebih gigih kerana pencabar-pencabar dari negara lain juga semakin memberi saingan yang cukup sengit,” katanya.-UTUSAN










