Yusof sasar catatan masa terbaik Komanwel 2026

Yusof sasar catatan masa terbaik Komanwel 2026

Muhammad Yusof Hafizi Shaharuddin berazam memburu catatan masa terbaik untuk mencerahkan peluang memenangi pingat emas di Sukan Komanwel Glasgow, Julai ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Atlet para berbasikal negara, Muhammad Yusof Hafizi Shaharuddin meletakkan sasaran untuk melakukan catatan masa satu minit 11 saat ke bawah bagi mencerahkan peluang meraih pingat pada Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Julai ini.

Menurut Yusof, ketika ini fokus utamanya bersama skuad kebangsaan adalah melakukan persiapan rapi menjelang kejohanan berprestij tersebut sebelum menghadapi cabaran seterusnya di Sukan Asia dan Kejohanan Dunia di Belanda.

“Macam sekarang, saya cuba untuk dekatkan catatan masa dengan atlet China. Sekarang mereka buat satu minit 11 saat dan saya baru 1 minit 13 saat. Saya kena kerja kuat untuk dapatkan catatan masa itu.

“Untuk Sukan Komanwel, ini adalah kali pertama saya beraksi. Jadi saya tidak tahu bagaimana suasana di sana dan bagaimana corak pertandingannya.

“Namun, jurulatih saya sudah mempunyai banyak pengalaman, jadi kami perlu berlatih bersungguh-sungguh dan apabila berada di sana nanti, kami hanya mahu melakukan yang terbaik untuk Malaysia,” katanya.

Yusof yang dibimbing oleh Sallehuddin Mohd Noh selama sedekad dan Mohd Rizal Tisin bakal mengambil bahagian dalam acara 1 dan 3 kilometer (km) di Sukan Komanwel 2026.

Katanya lagi, dia tidak pasti sama ada bakal mewakili negara dalam Sukan Paralimpik Los Angeles (LA) 2028 atau tidak, sebaliknya menyerahkan nasibnya kepada jurulatih.

“Saya ikut perancangan dengan jurulatih, siapa yang layak untuk pergi, jurulatih akan hantar yang terbaik ke LA. Jadi, jika saya layak ke LA, saya akan buat yang terbaik untuk Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN