Azizulhasni mahu akhiri perjalanan di Olimpik keenam

Azizulhasni mahu akhiri perjalanan di Olimpik keenam

AZIZULHASNI Awang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bukan lagi soal memburu emas atau membalas kekecewaan lalu, sebaliknya Datuk Mohd Azizulhasni Awang mahu menjadikan Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028) sebagai pentas terakhir untuk mengukuhkan legasinya dalam arena berbasikal trek dunia.

Jaguh berusia 38 tahun itu mengakui impian memburu penampilan keenam di temasya terbesar dunia berkenaan kini lebih tertumpu kepada usaha menghasilkan penutup karier terbaik, tanpa meletakkan tekanan berlebihan terhadap keputusan yang bakal diraih.

Sebaliknya, pemenang pingat emas Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2026 itu memilih pendekatan selangkah demi selangkah dengan memastikan misi melayakkan diri ke LA2028 menjadi keutamaan sebelum memikirkan sasaran seterusnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau anda bertanya kepada saya, sekarang ini Olimpik adalah tentang memahat legasi saya. Harapannya menjadi edisi keenam saya dan saya mahu mencari penutup terbaik untuk diri sendiri, apa jua keputusannya,” katanya selepas majlis penyampaian SHAKAM 2026, kelmarin.

Keputusan membatalkan persaraan sebelum ini pula bukan dibuat tanpa sebab apabila Azizulhasni mengakui masih dibelenggu perasaan belum menyelesaikan sesuatu selepas pengalaman mengecewakan di Paris 2024.

Katanya, kegagalan mempamerkan kemampuan sebenar di Paris menyebabkan beliau sukar menerima hakikat untuk meninggalkan sukan yang sudah menjadi sebahagian besar kehidupannya.

“Di Paris, saya tidak dapat berlumba betul-betul dan tidak dapat tonjolkan keseluruhan prestasi saya. 

“Sebab itu selepas membuat keputusan untuk bersara, setiap hari saya bangun dengan perasaan seperti ada sesuatu yang belum selesai dan sebab itu saya membuat kemunculan semula,” katanya.

Dalam pada itu, ketiadaan Ketua Jurulatih Kebangsaan, John Beasley yang kini berpangkalan di Jepun tidak menghalang persiapan Azizulhasni apabila beliau sudah menguruskan perancangan latihan sendiri sejak menjalani pembedahan jantung.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kempen menuju Olimpik tidak boleh digerakkan secara bersendirian, sebaliknya memerlukan sokongan pasukan yang mantap bagi memastikan segala perancangan berjalan lancar.

“Untuk pergi ke Olimpik, sudah tentu tidak boleh buat sendiri. Ia bukan perjalanan solo. Saya masih perlukan satu pasukan di belakang saya juga,” katanya yang kini giat mengadakan pertemuan dengan penaja korporat berpotensi bagi membentuk kempen profesional menjelang Disember.

Terdahulu, Azizulhasni menerima insentif kira-kira RM180,000 menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) susulan kejayaan meraih pingat emas di Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) serta Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) atas sokongan diberikan.

Pada masa sama, beliau mengingatkan pelumba muda supaya tidak menjadikan ganjaran kewangan sebagai matlamat utama, sebaliknya melihat insentif berkenaan sebagai pembakar semangat untuk terus mengharumkan nama negara. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini