Harga sayur tempatan dijangka naik 50 peratus

Harga sayur tempatan dijangka naik 50 peratus

Harga sayur-sayuran tempatan dijangka meningkat sehingga 50 peratus berikutan permulaan musim tengkujuh yang menjejaskan pertumbuhan tanaman serta bekalan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga sayur-sayuran tempatan dijangka meningkat sehingga 50 peratus minggu ini berikutan permulaan musim tengkujuh yang menjejaskan pertumbuhan tanaman serta bekalan ke pasaran.

Pengerusi Persekutuan Persatuan Penjual Sayur-sayuran Malaysia, Lee Kha Shiuann berkata, musim hujan yang berterusan boleh menjejaskan pengeluaran sayur-sayuran apabila keadaan itu memperlahankan pertumbuhan tanaman, selain menyebabkan proses pembungaan tidak sempurna bagi tanaman tertentu.

Beliau berkata, antara sayur-sayuran yang dijangka terkesan ialah sayuran berdaun seperti kangkung, bayam, sawi dan sawi Jepun, selain sayuran berbuah seperti cili merah, timun, bendi dan kacang panjang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, keadaan itu memberi kesan langsung terhadap hasil tuaian, sekali gus mengurangkan bekalan sayur-sayuran tempatan di pasaran.

“Apabila hujan berterusan, pertumbuhan sayur menjadi perlahan. Bagi tanaman yang bergantung kepada proses pembungaan seperti cili merah, timun dan bendi, keadaan cuaca juga boleh menjejaskan pembentukan bunga dan hasil tanaman.

“Biasanya pada penghujung tahun, bekalan sayur memang terjejas akibat musim hujan, malah keadaan boleh menjadi lebih buruk sekiranya berlaku banjir,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, kebanyakan tanaman sayur tempatan di kawasan tanah rendah berisiko terjejas apabila hujan lebat selama dua hingga tiga hari menyebabkan kawasan penanaman ditenggelami air atau mengalami banjir.

Keadaan itu bukan sahaja merosakkan tanaman, malah bo­leh menyebabkan operasi ladang terganggu dan bekalan sa­yur-sayuran terputus sementara.

Mengulas kemungkinan kenaikan harga seterusnya, Steven berkata, harga sesetengah sayuran berpotensi meningkat antara 50 hingga 100 peratus berbanding harga purata sekiranya gangguan bekalan menjadi lebih serius.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini