Tetapkan kuota import, harga siling sayur

Tetapkan kuota import, harga siling sayur

TEH Meng Huat (kiri) dalam sidang akhbar berkenaan isu krisis bekalan sayur dan kestabilan agro makanan dekat Bandar Sultan Sulaiman, di Klang, Selangor, semalam. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kerajaan perlu mewujudkan mekanisme kawalan atau menetapkan kuota import sayur-sayuran dan menetapkan harga siling bahan makanan itu seperti yang dilakukan terhadap makanan asas lain.

Langkah itu bertujuan mengelak berlaku pengimportan melebihi permintaan pasaran dan monopoli harga oleh warga asing.

Pengerusi Persatuan Pengimport Sayur-sayuran Malaysia, Datuk Seri Teh Meng Huat berkata, lebih 60 peratus import sayuran kini dikuasai syarikat yang diusahakan warga asing atau import dari luar negara.

Menurut beliau, keadaan kian membimbangkan berikutan harga kos tanaman kini amat tinggi hingga menyebabkan kerugian berterusan dan menjejaskan petani tempatan.

“Justeru, sistem kawalan kuota import perlu diwujudkan bagi mengurangkan pembuangan sayuran dan kerugian akibat persaingan import yang masuk tanpa mengira keperluan pasaran.

“Jika kelulusan kawalan itu diberi lebih 10 tahun, ia membantu pengimport mencari bekalan tetap dari luar negara dan rakyat juga memahami harga siling jenis sayuran,” katanya dalam sidang akhbar di Pelabuhan Klang, semalam.

Kata Meng Huat, kerajaan turut perlu meneliti semula pendaftaran syarikat warga asing bagi industri agromakanan di negara ini.

“Keselamatan makanan amat penting dan syarikat yang dikuasai warga asing perlu dihentikan daripada menjalankan perniagaan import, pengedar dan peruncit sayuran.

“Pelaburan asing memang dialu-alukan namun kita tidak boleh membenarkan mereka mengawal import makanan negara,” jelasnya.

Sementara itu, Persekutuan Persatuan Penjual Sayur-sayuran Malaysia, Steven Lee Kha Shiuann berkata, kerajaan turut digesa mengambil tindakan tegas kepada warga asing yang terlibat dalam perniagaan penanaman sayuran dan menyalahgunakan permit kerja.

“Mereka pada dasarnya memang diperlukan pekebun tempatan bagi membantu meningkatkan bekalan sayuran. Namun, mereka kini didapati berniaga sendiri dan menjadi tauke besar sekali gus memusnahkan industri agromakanan,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya turut memohon kerajaan mewartakan tanah pertanian dan menyalurkan bantuan pinjaman, subsidi atau rebat cukai kepada pekebun bagi meningkatkan hasil tanaman.

“Ia berikutan penanaman sayur oleh pekebun kecil semakin merosot akibat keluasan tanah kebun yang terhad. Pewartaan tanah pertanian perlu diberikan kepada pekebun yang layak bagi meningkatkan pengeluaran sayur dan menstabilkan harga,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN