PETALING JAYA: Skuad berbasikal trek negara berdepan ujian awal di Kejohanan Dunia Berbasikal Trek 2026 di Shanghai, China, hari ini apabila perlu menyesuaikan diri dengan keadaan velodrom baharu yang belum pernah digunakan mereka dalam pertandingan antarabangsa utama.
Cabaran itu menuntut pelumba negara segera memahami karakter trek, terutama dalam menentukan pemilihan gear dan pendekatan terbaik untuk menghasilkan pecutan optimum ketika berdepan barisan pelumba elit dunia.
Ketua jurulatih berbasikal trek negara, Harnizam Basri berkata, ketiadaan pengalaman berlumba di Velodrom Shanghai menyebabkan pasukan tidak mempunyai data terdahulu untuk dijadikan rujukan dalam merancang strategi perlumbaan.
Menurutnya, beberapa sesi latihan sudah dijalani di trek berkenaan, namun pasukan masih meneliti pendekatan paling sesuai untuk acara pecutan satu pusingan, dengan pemilihan gear menjadi antara aspek paling penting.
“Kami tidak mempunyai pengalaman berlumba di sini kerana ini kali pertama mereka mengadakan pertandingan antarabangsa utama di velodrom ini.
“Kami tidak mempunyai sebarang data daripada trek ini, jadi kami sudah menjalani beberapa sesi latihan dan sedang mencari cara terbaik untuk melakukan flying lap di sini, dengan perkara paling penting ialah memilih gear yang tepat,” kata Harnizam kepada Utusan Malaysia.
Harnizam berkata, Velodrom Shanghai mempunyai persamaan dengan Velodrom Izu di Jepun dari segi lebar trek 7.5 meter dan sudut kecondongan 45 darjah, tetapi keadaan di Shanghai dianggap lebih berat kerana lokasinya pada paras laut.
“Tekanan barometrik di Shanghai melebihi 1,000 hPa berbanding sekitar 900 hPa di Izu, sekali gus menjadi antara perbezaan persekitaran yang perlu difahami pelumba ketika menyesuaikan kayuhan dan strategi perlumbaan,” katanya.
Malaysia akan memulakan cabaran menerusi acara pecut berpasukan wanita yang menampilkan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, Nur Alyssa Mohd Farid dan Nurul Aliana Syafika Azizan, dengan Anis Amira Rosidi sebagai pelumba simpanan, sebelum skuad lelaki turun dengan Muhammad Fadhil Zonis, Mohd Akmal Nazimi Jusena, Muhammad Ridwan Sahrom serta Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang masih menunggu keputusan pemilihan akhir. – UTUSAN











