MUKADIMAH
KEMAMPUAN atlet para melakar nama di arena antarabangsa bukan lagi cerita kosong, malah kemampuan mereka sudah diiktiraf sebaris dengan nama-nama besar dalam sukan diceburi.
Kejayaan mereka bukan lagi diukur dengan deretan pingat emas, sebalik kudrat yang dikerah begitu tinggi nilainya sehingga meragut rekod-rekod dunia yang dilakar sebelum ini.
Apa yang menjadikan mereka begitu gagah sehinggakan kejayaan yang dikecapi sering dicemburui sehingga menjadi perbandingan dalam kalangan atlet di arus perdana.
Wartawan Mingguan Malaysia, DANISH HAKIMI KHAIR menemu bual Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman bagi berkongsi pandangannya.
————————————————————————————————————————-
Sejauhmana rintangan fizikal membentuk ketahanan mental atlet para?
MEGAT: Sukan para menuntut pengorbanan yang berbeza. Falsafah utamanya adalah mereka bersukan untuk mengatasi ketidakupayaan diri mereka sendiri terlebih dahulu.
Kita mengkategorikan kecacatan kepada tiga jenis utama iaitu kecacatan fizikal, penglihatan (visual) dan kecacatan intelektual.
Cabaran mereka jauh lebih ekstrem. Bayangkan sukan bola sepak buta perlu berlari, mengawal bola, bergelut, dan merempuh lawan tanpa sebarang penglihatan.
Mereka perlu menerima takdir kekurangan mereka dan pada masa yang sama, bekerja keras untuk menjadi lebih baik daripada individu lain.
Di sinilah peranan ibu bapa sangat kritikal sebagai tulang belakang utama. Tanpa bimbingan keluarga, amat sukar bagi atlet para untuk mencapai tahap prestasi tertinggi.
Adakah kurangnya tekanan media memberi kelebihan kepada mereka kekal fokus?
MEGAT: Liputan dan sokongan media adalah sangat kritikal. Berdasarkan merit, atlet para secara konsisten menyumbangkan banyak pingat dan mengharumkan nama negara.
Atas dasar keterangkuman, tahap pengiktirafan mereka tidak sepatutnya dibezakan dengan atlet normal.
Terdapat pandangan sinis yang menganggap atlet para mudah menang kerana mempunyai banyak kategori. Cuba pejamkan mata dan lari 100 meter, anda akan sedar betapa sukarnya cabaran mereka.
Oleh itu, saya menyeru semua rakan media sama ada cetak, elektronik mahupun digital untuk terus memberikan tumpuan (limelight) kepada mereka.
Media adalah pemangkin dan sistem sokongan yang mampu menyuntik semangat luar biasa untuk mereka terus menang.
Apakah perbezaan ketara dalam sains sukan dan kejurulatihan yang menjadikan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) ‘kilang emas’ negara?
MEGAT: Formula kemenangan kita berpaksikan kepada hubungan baik dan kerjasama erat antara MPM, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan 24 persatuan sukan para kebangsaan.
Proses kejurulatihan atlet para jauh lebih kompleks dan dinamik berbanding atlet normal.
Seorang jurulatih sukan arus perdana tidak semestinya boleh terus melahirkan juara dunia dalam sukan para.
Mereka perlu melalui proses latihan khusus, memahami kepakaran subjek dan mendalami sistem klasifikasi kecacatan.
Namun, dengan kepakaran sains sukan daripada ISN dan latihan yang betul, tidak mustahil jurulatih arus perdana juga boleh membentuk atlet para yang bertaraf dunia.
Bagaimana hubungan rapat jurulatih dan atlet diterjemahkan kepada kelebihan taktikal dan emosi?
MEGAT: Kita melihat kepada keseimbangan antara Kecerdasan Emosi (EQ) dan Kecerdasan Intelektual (IQ).
Hubungan antara jurulatih, atlet, dan pemegang taruh (MPM, MSN, ISN) membentuk teras EQ. Atlet perlu berasa yakin bahawa keseluruhan ekosistem ini berdiri kukuh di belakang mereka manakala tahap IQ pula merujuk kepada kekuatan mental dan fizikal atlet itu sendiri.
Formula sebenar yang mencetuskan juara-juara para kita adalah kepercayaan, keikhlasan dalam bekerjasama, pemahaman antara satu sama lain dan kerja keras yang tidak berbelah bahagi.
Bagaimana MPM memaksimumkan potensi mereka hingga peratusan kejayaannya melepasi atlet normal?
MEGAT: Jika dahulu sekolah pendidikan khas hanya menumpukan kepada sukan olahraga, kini kita telah mengembangkan penawaran kepada beberapa sukan lain.
Melalui Sukan Para Sukma, kita menilai potensi mereka sebelum diserapkan ke dalam program pelapis dan podium.
Inisiatif jangka panjang yang paling saya banggakan ialah kerjasama strategik bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menubuhkan Sekolah Sukan Pendidikan Khas di Bandar Enstek.
Ia berkonsepkan sekolah sukan seperti di Bukit Jalil tetapi dibina khusus untuk kemudahan atlet para.
Infrastruktur ini akan menjadi pemangkin utama yang akan menjamin rantaian bakat kita bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Adakah MPM mempunyai strategi pengurusan dana yang efisien untuk pendedahan antarabangsa?
MEGAT: MPM adalah sebuah badan bukan kerajaan di bawah Akta Pembangunan Sukan 2018. Kami tidak menjana pendapatan sendiri dan banyak bergantung kepada tajaan, penganjuran program dan geran kerajaan.
Bagi memastikan kelangsungan pendedahan antarabangsa, kita telah memohon peruntukan bajet tetap secara terus daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Dana ini amat kritikal kerana perbelanjaan di luar negara melibatkan tukaran mata wang asing (USD atau Euro).
Kita perlu sentiasa menghantar atlet bersaing di pentas global, membida hak penganjuran serta mengekalkan penglibatan aktif dalam komuniti sukan antarabangsa seperti Virtus Sports dan Ability Sports.
Adakah keinginan untuk memecahkan stigma ‘simpati’ masyarakat menjadi pembakar semangat utama atlet para?
MEGAT: Stigma simpati ini harus dipadamkan sepenuhnya. Menjelang 2026, pandangan sebegini sudah lapuk.
Atlet para adalah atlet profesional bertaraf dunia, taraf mereka sama seperti Datuk Lee Chong Wei atau Lee Zii Jia.
Mereka adalah ahli sukan, ikon dan jenama negara yang mempunyai nilai komersial.
Rakyat tidak boleh lagi memandang mereka dengan sebelah mata atau menganggap sukan para ini sebagai platform meraih simpati atau ‘minta sedekah’.
MPM sedang giat memprofilkan mereka sebagai individu profesional yang mampu memberikan kebanggaan mutlak kepada Malaysia.
Sejauh manakah kesamarataan ganjaran SHAKAM melonjakkan lagi keagresifan atlet para di pentas dunia?
MEGAT: Kesamarataan nilai Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) di mana pemenang pingat emas Paralimpik turut menerima RM1 juta sama seperti Sukan Olimpik merupakan satu pengiktirafan hebat daripada kerajaan.
Ia adalah pembakar semangat yang amat berkesan. Namun, fokus kini perlu dialihkan kepada penyelarasan elaun dan gaji untuk jurulatih, pasukan teknikal, fisioterapi dan pakar psikologi.
Sukar untuk kita mengharapkan mereka melahirkan pemenang pingat emas di pentas dunia jika tangga gaji mereka masih berada di takuk lama.
Sekiranya kita membayar mengikut standard antarabangsa, kita juga akan melahirkan atlet dan juara bertaraf antarabangsa.
Apakah pengajaran daripada ekosistem paralimpik yang patut dicontohi oleh sukan arus perdana?
MEGAT: Pihak MSN perlu beralih kepada peranan pembuat dasar dan memberikan kepercayaan penuh kepada persatuan sukan kebangsaan untuk menguruskan operasi.
Persatuan adalah ahli berdaftar dengan Persekutuan Antarabangsa (IF) bagi sukan masing-masing.
MSN seharusnya hanya menyalurkan dana, menetapkan sasaran (KPI), dan memantau pencapaian.
Urusan teknikal, penghantaran atlet ke luar negara dan pelaksanaan program harus dikembalikan kepada persatuan yang lebih arif tentang sukan mereka.
Jika MSN melepaskan pengurusan mikro ini kepada persatuan, ia akan mencipta satu situasi ‘menang-menang’ untuk keseluruhan industri sukan negara.
Dengan jaguh seperti Ridzuan Puzi (Dekwan), Ziyad Zolkefli, Latif Romly dan Cheah Liek Hou di penghujung karier, sejauh manakah persediaan atlet pelapis untuk mempertahankan kecemerlangan?
MEGAT: Generasi jaguh seperti Dekwan, Latif, dan Ziyad telah memacu legasi sukan para dari tahun 2010 hingga 2020, termasuk kejayaan gemilang di Rio 2016. Untuk fasa sedekad seterusnya, pendekatan kita kini lebih agresif.
Sebagai perancangan pantas yang saya gelar sebagai suntikan ‘steroid’ bukan bermaksud bahan terlarang tetapi kaedah pencepatan prestasi.
Kita menempatkan atlet-atlet di pusat latihan antarabangsa terbaik mengikut dominasi sukan.
Sebagai contoh, atlet memanah kita hantar berlatih sepenuhnya di Korea Selatan, Taekwondo di Uzbekistan dan olahraga di Great Britain.
Pendedahan elit secara berterusan adalah jalan pintas yang paling berkesan untuk membentuk barisan juara baharu dan menghapuskan rasa gemuruh mereka apabila berhadapan jaguh dunia.











