Sedekad tidak pernah putus asa

Sedekad tidak pernah putus asa

Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin memasang impian lebih besar untuk beraksi di pentas Paralimpik 2028 Los Angeles. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMANGAT, cekal dan sabar menjadi kunci kejayaan kepada atlet para berbasikal negara, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin apabila selepas sedekad bergelar atlet dia akhirnya dinobatkan selaku penerima anugerah Olahragawan Paralimpik Kebangsaan sekali gus menjadi pengiktirafan tertinggi buat dirinya di peringkat kebangsaan.

Kejayaan Yusof meraih gelaran juara dunia menerusi pingat emas acara pecut (kategori MC1) di Brazil tahun lalu mengetepikan pemenang tiga kali Bonnie Bunyau Gustin dari powerlifting dan jaguh lompat jauh Datuk Abdul Latif Romly.

Atlet kelahiran Ipoh itu berkata, dia mula menjinakkan diri dalam sukan sejak di bangku sekolah sebelum bakatnya mula dihidu oleh jurulatihnya, Sallehuddin Mohd Noh.

“Jurulatih saya, Salehuddin yang jumpa bakat saya. Masa itu ada temu duga di Lumut pada 2017, saya ingat lagi. Masa itu, dia tahu saya ada masalah fizikal jadi saya perlu buat ujian khas sebelum masuk ke Majlis Sukan Negara (MSN) dan sejak itu, saya berada di bawah bimbingannya sehingga kini,” kata Yusof kepada Mingguan Malaysia.

Menceritakan pengalamannya sepanjang sedekad bergelar atlet, Yusof mengakui dia tidak pernah terlintas untuk berhenti separuh jalan sebaliknya meneruskan kariernya berbekalkan kata-kata semangat daripada keluarga dan rakan-rakan.

“Sepanjang tempoh 10 tahun saya bergelar atlet saya tak pernah rasa nak berputus asa sebab keluarga dan kawan-kawan saya banyak memberi sokongan kepada saya.

“Jika mereka tahu saya penat atau apa sahaja, mereka akan memberi kata-kata semangat supaya jangan mengalah. Mereka akan cakap ‘Ini peluang kau, inilah kerja keras kau, buat yang terbaik untuk mak ayah, banggakan keluarga kau.

“Kadang-kadang saya telefon mak ayah di rumah mereka juga akan memberi kata-kata semangat. Mereka cakap dah sampai sini kenalah teruskan sampai habis,” katanya.

Menurut Yusof, setiap kali terlibat dalam kemalangan atau pun terjatuh ketika perlumbaan itu menjadi titik terendah dalam hidupnya sebagai atlet, namun berbekalkan kata-kata semangat rakan karibnya, Muhammad Khairul Adha Rasol, dia berjaya bangkit dan meneruskan kayuhan.

“Kami berkawan sejak 2017 lagi dan kebiasaannya kalau saya ‘down’, rakan saya, Khairul Adha yang selalu beri sokongan kepada saya. Dia merupakan jurumudi pasukan kebangsaan.

“Biasanya, saya akan rasa ‘down’ apabila saya tak dapat capai apa yang saya nak sewaktu perlumbaan. Contohnya saya jatuh atau terlibat dalam kemalangan ketika berlumba. Masa itu saya memang rasa ‘down’ sangat sebab nak berlatih pun tak boleh, saya kena berehat,” katanya lagi.

Kejayaan Yusof menerima pengiktirafan tertinggi di peringkat kebangsaan itu membolehkan dia menerima sebuah piala, piala iringan, sijil penghargaan serta hadiah wang tunai berjumlah RM20,000.

“Duit kemenangan itu saya tak pasti lagi nak buat apa. Mungkin saya akan menyimpan untuk masa depan, dengan keadaan ekonomi tidak menentu sekarang ini. Saya ada juga merancang nak bawa keluarga saya pergi makan-makan,” katanya.

Bercakap mengenai masa depan, Yusof mengakui dia masih terfikir untuk bersara sebaliknya semakin bersemangat untuk mengejar impiannya dengan mendapatkan pingat di Sukan Paralimpik Los Angeles 2028.

“Saya tahu bukan mudah untuk melakukannya tetapi saya kena berjanji dengan diri sendiri untuk bekerja keras, berdisiplin dan berikan yang terbaik semasa berlatih dan menyertai kejohanan. Jika slot ke Paralimpik 2028 menjadi milik saya sudah tentu saya akan buat yang terbaik untuk Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN