Faisal rangkul anugerah Gol Terbaik Piala Asia 2023

Faisal rangkul anugerah Gol Terbaik Piala Asia 2023

AKSI Faisal Halim ketika menumpaskan penjaga gol Korea Selatan, Jo Hyeon Woo dalam pertembungan terakhir Kumpulan E di Piala Asia 2023 yang menyaksikan Malaysia mengikat gergasi Asia itu 3-3.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain sayap lincah Harimau Malaya, Faisal Halim melakar sejarah baharu buat bola sepak negara apabila gol jaringannya ketika menentang Korea Selatan diundi sebagai Gol Terbaik Piala Asia 2023.

Gol jaringan Faisal pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan E dalam saingan Piala Asia 2023 yang lalu itu meraih 85 peratus undian, sekali gus menjadi suatu yang boleh dibanggakan biarpun Malaysia tersingkir awal di kejohanan itu.

Untuk rekod, pemain berusia 26 tahun itu meledak jaringan menarik selepas berjaya memperdaya pemain Korea Selatan yang dilabel antara pertahanan tengah terbaik dunia yang juga pertahanan terbaik Serie A 2022/23, Kim Min Jae di Stadium Al Janoub.

Faisal yang lebih dikenali sebagai Mickey menyambar bola sebelum memperdaya pertahanan Bayern Munich itu dan juga penjaga gol Korea Selatan, Jo Hyeon Woo yang ‘terduduk’ sebelum meledak gol pertama Malaysia.

“Saya gembira tetapi tidak boleh memberikan sebarang komen kerana masih tiada makluman rasmi daripada AFC tentang keputusan undian ini, kita tunggu dahulu katanya,” kata Faisal kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyerahkan kepada AFC untuk menentukan sama ada gol Faisal itu layak untuk dicalonkan ke Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Peratusan undian yang diraih Faisal itu jauh meninggalkan pencabar terdekatnya, Mousa Al-Tamari dari Jordan yang menjaringkan gol ketika menentang Korea Selatan yang mendapat sembilan peratus.

Sementara itu, penyerang sensasi Korea Selatan yang beraksi dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL), Son Heung Min semasa bertemu Australia pula sekadar meraih tiga peratus undian.

Secara kebetulan, ketiga-tiga jaringan yang mendapat undian tertinggi ini hadir daripada pasukan yang berentap dalam kumpulan yang sama iaitu Kumpulan E.

Manakala dua lagi jaringan yang dicipta oleh Sardar Azmoun dan Supachok Sarachat dari Iran dan Thailand masing-masing meraih undian satu peratus.

Tiga lagi jaringan yang dihasilkan oleh Keito Nakamura (Jepun), Abdulrahman Ghareeb (Arab Saudi) dan Hassan Al Haydos (Qatar) gagal meraih sebarang peratusan undian.-UTUSAN

 

Kapsyen: AKSI Faisal Halim ketika menumpaskan penjaga gol Korea Selatan, Jo Hyeon Woo dalam pertembungan terakhir Kumpulan E di Piala Asia 2023 yang menyaksikan Malaysia mengikat gergasi Asia itu 3-3.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×