Suhu Kedah, Perlis boleh cecah 40 darjah Celcius

Suhu Kedah, Perlis boleh cecah 40 darjah Celcius

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia ter­utamanya di Kedah dan Perlis boleh mencatatkan kenaikan suhu sehingga 40 darjah Celsius pada fasa akhir Monsun Timur Laut kali ini.

Pakar Meteorologi di Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan dan Institut Sains Samudera dan Bumi, Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr. Azizan Abu Samah berkata, peningkatan suhu berlaku disebabkan ketiadaan awan yang melindungi terik matahari,

Menurut beliau, kejadian itu turut boleh diburukkan lagi sekiranya kawasan tersebut tidak mempunyai tumbuh-tumbuhan.

“Kenaikan suhu bergantung kepada awan. Kalau tiada langsung awan macam di utara Semenanjung, boleh naik sampai 40 darjah Celsius.

“Sebab cahaya matahari lebih teruk sekiranya tiada litupan awan. Jadi, kalau pergi Perlis, Kedah dan Kelantan, awan pun tidak banyak (sebab itu panas),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) meramalkan, kemuncak kesan El Nino yang kebiasaannya bermula pada penghujung Monsun Timur Laut boleh menyebabkan cuaca panas dan kering berterusan sehingga Mei ini.

Difahamkan, kejadian itu me­ngurangkan taburan hujan antara 20 hingga 60 peratus serta mening­katkan suhu antara 0.5 hingga dua darjah Celsius.

Ketiadaan hujan dalam tempoh lama juga boleh menyebabkan cuaca lebih panas dan kering berbanding kebia­saan di kebanyakan tempat.

Mengulas lanjut, Azizan berkata, cuaca panas dan ke­ring berikutan kesan El Nino itu bagaimanapun dijangka tidak seteruk berbanding fenomana berlaku pada 1982, 1983, 1997, 1998, dan 2019 yang turut diburukkan dengan ancaman jerebu.

Pada masa sama, beliau berkata, jangkaan kenaikan paras suhu panas itu tidak dilihat tertinggi berbanding suhu terpanas 40.1 darjah Celcius direkodkan di Stesen Meteorologi Chuping, Perlis pada 9 April 1998.

“Setakat ini kita belum menghadapi jerebu lagi. Kemudian fenomena ini juga hanya berlaku di utara Semenanjung, terutama di Cuping, manakala tidak di selatan tanah air.

“Pada pendapat saya, ia masih tidak teruk. Jika sebaliknya, kadang­kala apabila Monsun Timur laut ditambah El Nino akan ada kebakaran hutan pada Februari, tetapi sekarang tidak ada lagi,” katanya.

Beliau menambah, cuaca panas dan kering hanya dilapor di bahagian utara negara kerana proses perolakan Monsun Timur Laut sudah berpindah ke bahagian selatan.

“Pada awal monsun, kawasan hujan iaitu di mana zon perolakan berada di bahagian utara dan selepas itu bergerak ke selatan.

“Sekarang ini berada dekat Sarawak, Jawa Indonesia dan sebab itu kawasan berkenaan tidak panas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×