Solat tahajud iringi persediaan hadapi SPM

Solat tahajud iringi persediaan hadapi SPM

Separuh daripada calon SPM 2023 mungkin mengambil keputusan tidak sambung belajar ekoran cabaran ekonomi semasa dan terpengaruh dengan peluang ekonomi di media sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ibarat berada di medan perang, demikian rasa gementar dihadapi pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7 di sini yang mula menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semalam.

Seramai 365 pelajar termasuk dua calon persendirian menduduki peperiksaan itu di sekolah berkenaan adalah sebahagian daripada 72,929 orang secara keseluruhan di Selangor pada tahun ini.

Salah seorang calon, Aameera Nur Iman Ashikin, 18, ketika ditemui berkata, dia melakukan persediaan sejak lebih dua bulan lalu termasuklah melakukan solat sunat tahajud setiap hari selain mengulangkaji pelajaran dan membuat latih tubi.

“Ibu bapa bagi doa dan zikir supaya dipermudahkan urusan untuk menjawab soalan bagi lapan mata pelajaran yang saya ambil sepanjang SPM ini. Insya-Allah saya buat yang terbaik untuk mengharumkan nama keluarga,” katanya bercita-cita menjadi ahli perniagaan.

Seorang lagi calon, Muhammad Farish Aiman Firman Hery, 18, berkata, dia meletakkan sasaran untuk mencapai gred A bagi subjek Bahasa Melayu dan Pendidikan Seni untuk mengejar cita-citanya menjadi seorang pereka.

“Itu antara subjek yang saya target sebab saya suka melukis. Ada lapan subjek yang diambil, tetapi saya sasarkan sekurang-kurangnya empat A. Saya sedar kelemahan sendiri tetapi saya tetap berusaha dan persediaan sudah pun dilakukan lebih sebulan lalu.

“Jadi, bermula hari ini, ia seperti berada di medan perang. Cuma yang saya dapat katakan, saya akan lakukan yang terbaik hingga hari terakhir menduduki peperiksaan nanti,” ujar anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Hanisah Mohd. Ali berkata, seramai 8,046 petugas yang terdiri daripada 1,062 sukarelawan dalam kalangan lepasan institusi pengajian tinggi, pesara kerajaan dan swasta dilantik untuk membantu mengendalikan perjalanan peperiksaan.

“Calon SPM paling ramai di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana iaitu 13,755 individu atau 18.9 peratus daripada calon berdaftar di negeri ini. Setiap calon diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan penyata pendaftaran peperiksaan ke pusat peperiksaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×