Mukadimah
BANYAK teguran dan kritikan yang diberikan pemimpin ini dalam perkara yang menyentuh hal-hal berkaitan politik, ekonomi dan polisi kerajaan.
Dengan berlatar belakang pendidikan dalam ekonomi dan sains polisi, teguran dan kritikan tersebut semestinya penting dalam memastikan segala dasar dilaksanakan dengan baik.
Apatah lagi dengan beberapa isu seperti nilai ringgit yang menjunam, kenaikan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta kenaikan tarif air pada ketika ini sekaligus mencetus kebimbangan rakyat.
Justeru Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu ramah bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri DR. ONG KIAN MING bagi mendapatkan pandangannya. Turut membantu jurufoto, FARIZWAN HASBULLAH.
INFLASI
MINGGUAN MALAYSIA: Adakah terdapat kemungkinan berlakunya inflasi pada Mac ini dengan kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak lapan peratus?
KIAN MING: Saya lihat kadar inflasi sudah turun tahun lalu dan untuk suku tahun pertama ini, ia masih dalam kawalan disebabkan beberapa faktor. Antaranya, disebabkan harga minyak yang masih tidak naik dan ini juga boleh dikatakan antara faktor besar.
Selain itu, harga barangan asas antarabangsa (diimport) masih terkawal dan kadar inflasi sebelum ini pun turun antara 1.5 peratus sehingga dua peratus. Tetapi untuk suku kedua tahun ini dan seterusnya, mungkin ada sedikit tekanan disebabkan kadar SST.
Selain itu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mengumumkan pemberian subsidi bersasar pula dalam tahun ini.
Apabila langkah tersebut dilaksanakan, harga minyak saya fikir mungkin naik sedikit dengan terkawal. Kalau ini berlaku harga barangan asas lain yang berkaitan kos pengangkutan juga naik.
Lagipun baru-baru ini, kadar tarif air naik cuma terkawal dan pada masa sama kerajaan negeri dan Persekutuan telah beri bantuan subsidi bersasar untuk golongan berpendapatan rendah (B40).
Saya beri contoh kadar bantuan untuk isi rumah menerusi Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM1,200 tahun ini berbanding RM600 pada 2023. Begitu juga bantuan dari Selangor yang telah dinaikkan.
KENAIKAN HARGA BARANG
Kemungkinan harga barang naik?
Saya rasa ramai pengeluar dan pengilang mengawal harga mereka semasa pandemik Covid-19 Justeru oleh kerana SST naik daripada enam kepada lapan peratus, mungkin sebahagian pengilang akan serapkan kos kepada pengguna atau peruncit. Jadi, pada fikiran saya rasa untuk jangka pendek, ia beri sedikit tekanan daripada kenaikan harga.
Apabila menyentuh tentang isu inflasi, bukan semua barang yang naik harga akan masuk ke dalam perhitungan inflasi kerana ia satu kumpulan barang yang terkawal misalnya telur ayam atau barang kawalan lain.
Walau apa pun bagi saya masyarakat bukan sahaja lihat pada kadar inflasi tetapi melihat apa yang mereka belanjakan. Kalau belanja lebih, maka mereka akan terasa dalam dompet mereka.
Adakah SST masih relevan?
Saya rasa SST ada kebaikannya kerana kumpulan barang lebih bersasar dan tidak kena pada barangan makanan. Bagaimanapun pada masa sama, SST tetap ada kelemahan kerana bukan wide based consumption tax. Maksudnya, jumlah wang yang boleh dikutip kerajaan terhad.
Jadi, kalau hendak kutip lebih duit untuk berbelanja dengan prihatin dan berhemah, cukai barang dan perkhidmatan (GST) lebih efektif.
Cuma pada saya, ini (perdebatan tentang SST dan GST) semuanya penilaian politik. Sekarang ini persoalannya apakah keutamaan kerajaan daripada segi kutipan cukai dan bagaimana kerajaan mahu belanjakan pendapatan daripada cukai yang dikutip?
KEJATUHAN RINGGIT DAN NAIKKAN GAJI PEKERJA
Bagaimana saudara melihat kejatuhan nilai ringgit pada masa kini?
Saya rasa untuk kebanyakan orang sama ada nilai jatuh atau naik, memang tiada apa-apa impak. Cuma untuk jangka masa panjang apabila nilai ringgit jatuh, nombor satu inflasi dan barangan yang diimport harganya pasti naik.
Pada masa sama, barang mentah yang diimport oleh syarikat pengeluar dan diproses menjadi makanan semestinya naik. Begitu juga untuk mereka yang bergantung kepada import sama ada pengguna atau syarikat pastilah terkesan
Pada saya kita perlu ada rancangan jangka masa panjang untuk mata wang ringgit. Tak boleh kata satu minggu nilai jatuh kepada 4.7, terus mahukan Bank Negara Malaysia (BNM) ambil tindakan dan berbuat sesuatu.
Kerajaan sepatutnya perlu beri keyakinan kepada pelabur asing bahawa ekonomi terus tumbuh di negara ini selain kestabilan.
Selain itu, kerajaan perlu memberi ruang (meletakkan syarat) untuk syarikat dan majikan menaikkan gaji pekerja agar segala keperluan asas dapat dipenuhi walaupun nilai matawang tidak kukuh.
Sebagai contoh dengan memberi jaminan bahawa syarikat yang datang melabur ke negara ini akan menerima pulangan disebabkan ekosistem dan kestabilan.
JANGAN ‘BERMAIN GAME’
Tidakkah langkah meletakkan syarat kenaikan gaji pekerja membimbangkan pelabur luar disebabkan peningkatan kos upah pekerja?
Saya rasa ada kemungkinan pelabur lari itu ada. Namun, saya tidak rasa kita perlu ‘bermain game’ bahawa mereka yang datang melabur ke Malaysia sebab gaji rendah. Lihat Singapura nilai mata wang dan gaji tinggi, pelabur tetap datang ke sana disebabkan ekosistem yang baik.
Apa yang penting sekarang, kalau gaji naik jangan sampai secara tidak teratur atau mencecah sehingga 100 peratus. Biarlah pada kadar yang munasabah, sebagai contoh 10 peratus dan ia boleh diterima syarikat serta pekerja.
Seandainya kita boleh mewujudkan satu ekosistem yang baik iaitu pelabur datang ke Malaysia boleh mendatangkan keuntungan pada mereka, saya rasa ia (gaji naik) bukanlah satu bebanan.
PADU TIDAK BAIK DARI
SEGI KESELAMATAN
Banyak kritikan dilontar saudara terhadap sistem Pangkalan Data Utama (PADU). Adakah wajar kerajaan mencari alternatif lain?
Sebenarnya saya rasa banyak data peribadi dan maklumat daripada orang ramai boleh dikumpul daripada agensi berlainan.
Ini kerana kaedah yang digunakan Kementerian Ekonomi menerusi sistem bagi memperoleh maklumat ini tidak begitu baik daripada segi keselamatan. Siapapun boleh dapatkan maklumat peribadi seperti kad pengenalan dan poskod yang telah didaftarkan.Walaupun saya lihat ia telah diperbetulkan sedikit, tapi keberkesanan belum terbukti.
Kedua, saya lihat matlamat sistem PADU ini sepatutnya boleh dapatkan cukup maklumat untuk mereka yang tidak mendapat bantuan sebelum ini disebabkan mempunyai pendapatan sampingan lain seperti sewa rumah atau tanah.
Tapi masalahnya adakah mereka yang ada pendapatan sampingan itu akan membuat pengakuan dan jujur apabila mengisi borang tersebut? Adakah mereka letak pendapatan sebenar?
Oleh itu, saya lihat sistem lain seperti pangkalan data Sumbangan Tunai Rahmah yang pernah digunakan sebelum ini mungkin akan diguna pakai.
POLITIK, KJ DAN
SHAHRIL HAMDAN
Adakah penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan mampu menarik lebih ramai orang Melayu untuk menyokong PH pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti?
Berdasarkan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, memang ada beberapa kerusi di mana sokongan Melayu beralih kepada PH selepas terbentuknya Kerajaan Perpaduan.
Kerjasama dengan UMNO tidak dinafikan sememangnya membantu PH. Sebagai contoh kerusi DAP di Sungai Pelek, Sepang. Bagaimanapun pada masa sama, saya rasa lebih ramai penyokong UMNO tukar undi kepada Perikatan Nasional (PN).
Jadi, itu cabaran besar bukan sahaja untuk UMNO tapi PH. Sudah sampai masanya pemimpin UMNO memerlukan satu kaedah baharu untuk memikat hati orang Melayu terutama golongan muda kerana saya rasa mereka tidak ingat jasa UMNO membantu membangunkan negara membangun. Sokongan mereka kepada PN disebabkan pengaruh TikTok.
Di samping itu, buat masa sekarang saya tidak nampak pemimpin UMNO muda yang ada kaliber seperti Khairy Jamaluddin atau Shahril Hamdan. Walaupun saya rasa Ketua Pemuda UMNO Dr. Muhamad Akmal Saleh mencuba sedaya upaya (menonjol), tapi belum mencapai standard lagi seperti Khairy.
Beliau mungkin (Dr. Muhamad Akmal) ada kaedah tersendiri untuk memikat orang muda. Cuma zaman sekarang, untuk awak memikat orang muda tidak boleh buat secara individu. Khairy contohnya ada pasukan sendiri. Kalau UMNO nak undi orang muda mereka perlu ada tim muda yang kuat untuk berbuat demikian.
Macam DAP sekarang, walaupun Anthony Loke sebagai Setiausaha Agung, mereka ada team yang terdiri daripada beberapa pemimpin lain seperti Hannah Yeoh, Steven Sim dan Gobind Singh Deo yang bekerjasama untuk menarik undi bukan sahaja orang bukan Melayu tetapi orang Melayu sendiri. Maknanya mereka menggunakan strategi menyeluruh.
Adakah UMNO kekurangan pemimpin muda?
Tidak boleh dinafikan memang ada kekurangan apabila Khairy dipecat sehingga wujud satu ruang yang belum diisi. Contohnya mudah. Saya boleh gunakan ruangan podcast Khairy sebagai rujukan kerana beliau cukup popular dengan mempunyai pengikut sendiri.
Kebanyakan orang yang berminat pada politik mahu mengulas isu politik semasa. Adakah UMNO atau pemimpin Melayu dalam Kerajaan Perpaduan ada daya tarikan sedemikian? Saya rasa tiada.
DAP DAN POLITIK LAMA
Adakah DAP lebih bersederhana pada masa sekarang?
Saya fikir memang wujud ketegangan dalam DAP, di mana mungkin ada sebahagian pemimpin daripada ahli selesa dengan cara politik lama dengan hanya memberi perhatian kepada isu yang lebih mementingkan orang bukan Melayu.
Tetapi pada masa sama, saya nampak ada beberapa pemimpin muda lebih sederhana dan sedang cuba untuk memikat hati serta berkomunikasi dengan orang Melayu menerusi cara yang boleh diterima.
Sebagai contoh Steven Sim. Beliau banyak mengadakan aktiviti yang membantu orang Melayu. Hannah Yeoh juga begitu, boleh diterima orang Melayu dengan menyentuh semua lapisan masyarakat selain Anthony Loke.
Dalam masa sama, DAP ada beberapa pemimpin Melayu seperti Syahredzan Johan dan Young Syefura Othman. Malah mereka ada masa depan yang lebih cerah dengan memberi gambaran bahawa DAP sederhana dan tidak ekstrim, sekaligus dapat mengurangkan perasaan sangsi atau dengki kepada parti ini.
Wajarkah konsep Malaysian Malaysia dihapuskan bagi menarik lebih ramai sokongan orang Melayu?
Saya rasa itu hanya satu simbolik dan saya lihat sekarang DAP sudah tunjukkan bahawa mereka bergerak dalam arus perdana.
Ia berbeza jika dibandingkan dengan sebelum ini. Sebagai contoh, kalau dalam DAP sewaktu dulu, apabila ada pemimpin Cina mahu memakai songkok, ia satu perkara yang sensitif dalam kalangan mereka sendiri dan parti. Sekarang lain, sudah menjadi kebiasaan.
Dan saya rasa apabila DAP boleh tunjukkan bahawa parti ini memang sebuah parti yang boleh mewakili kepentingan semua lapisan masyarakat di Malaysia sama ada Melayu dan bukan Melayu, ia menunjukkan bahawa DAP telah menjadi satu parti yang semakin boleh diterima dalam kalangan masyarakat.
PENCEN KAKITANGAN AWAM
Langkah menghentikan pemberian pencen untuk kakitangan awam selepas ini. Adakah isu bakal menjadi liabiliti kepada Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi PRU16 ?
Saya pasti isu ini akan dimainkan pembangkang. Namun, untuk DAP dan PH, apa yang penting adalah perlunya komunikasi dan dasar yang lebih baik seandainya satu sistem baharu mahu diperkenalkan dalam kerangka kerja.
Jangan fokus kepada satu atau dua perkara sahaja. Contohnya, tahun ini mahu naikkan gaji dan tukar skim pencen kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Mungkin itu sesuatu yang boleh diterima.
Akan tetapi ada banyak lagi perkara dan isu lain yang dihadapi oleh kakitangan kerajaan kerana mereka ada cabaran lebih besar.
Sebagai contoh untuk golongan guru. Mereka sekarang ada masalah besar iaitu membabitkan pertukaran dari satu kawasan ke satu kawasan dan ada ramai yang mahu ditukar. Tiada sistem yang baik untuk ‘matching’.
Selain itu, sistem kenaikan pangkat di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Adakah ia dilaksanakan secara telus, maknanya mereka yang ada potensi dan berkebolehan dinaikkan pangkat atau sistem bodek. Itu sebagai contoh.
Begitu juga untuk mereka yang mahu meningkatkan kemahiran dan melanjutkan pelajaran yang mungkin ada sebahagiannya disekat.
Jadi, pada saya kalau hendak buat pembaikan kepada sistem kakitangan awam, ada banyak lagi perkara yang perlu dilihat selain gaji serta pencen. – Mingguan Malaysia











