TAHNIAH kepada selebriti dan penyanyi, Alif Satar atas kejayaan apabila gerakan #GengSubuhMacamJumaat pada 1 Januari lalu itu mendapat sokongan pelbagai pihak. Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara, Kuala Lumpur menjadi saksi apabila kempen itu menarik kira-kira 3,000 jemaah.
Begitulah sepatutnya usaha yang dilakukan oleh setiap kita yang bergelar Muslim. Apatah lagi jika kita ada pengaruh, pengikut sehingga digelar pempengaruh. Gunakan kesempatan itu untuk berdakwah mengajak manusia melakukan kebaikan dan dalam masa sama, mencegah kemaksiatan.
Alif yang mendapat idea itu hasil ceramah tentang bagaimana mahu membantu rakyat Palestin, kini ibadat menjadi fenomena. Ini apabila bukan saja di Malaysia, malah ada peminat di Singapura, Brunei dan Indonesia melaksanakan rutin sama (solat subuh berjemaah).
Katanya, beliau tahu mengenai perkara ini selepas melihat perkongsian dimuat naik dalam media sosial mereka. Setakat 5 Januari lalu, kira-kira 12,000 ahli menyertai gerakan dicetuskan Alif di Telegram . Selepas solat Subuh, majlis ilmu dan aktiviti riadah dianjurkan bersama jemaah.
Memang susah nak bangun untuk solat subuh terutama mengerjakannya secara berjemaah di masjid dan surau. Sebaliknya, ramai yang terbabas dan menunaikannya pada hujung waktu ataupun terlepas waktu yang disebut ‘subuh gajah’
Solat Subuh ini mempunyai ganjaran yang banyak. Sebab itu, Nabi Muhammad SAW dalam hadisnya bersabda yang bermaksud: Sesesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik adalah solat isyak dan solat al-Fajar (subuh). Sekiranya mereka mengetahui (pahala) apa yang terdapat pada keduanya, nescaya mereka akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak. (Riwayat Muslim)
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:Sesiapa yang solat Isyak secara berjemaah, seumpama dia telah solat separuh daripada malam dan sesiapa yang solat subuh secara berjemaah, seumpama dia telah solat sepanjang malam. (Riwayat Muslim)
Hadis di atas sepatutnya menjadi penyuntik semangat utama kepada umat Islam menunaikan solat berjemaah terutama solat Subuh dan Isyak. Amat besar ganjaran yang Allah sediakan kepada mereka yang melakukannya secara berjemaah.
Sayangnya, ramai yang tewas dengan kedinginan waktu pagi. Sehingga tidak berupaya melawan godaan syaitan yang memang ‘mendodoikan’ kita supaya tidurlah…jangan buka mata, masih awal lagi nak solat.
Ramai yang mampu mendaki bukit dan gunung, menamatkan larian maraton sejauh 42 kilometer tetapi tidak semua mampu melangkah kaki solat berjemaah di masjid. Bukan waktu Subuh sahaja, waktu lain pun sama.
Pengecualian hanya solat Jumaat. Itu pun sebab diberi pelepasan oleh majikan. Tetapi ramai juga orang lelaki yang ‘tuang’ ke masjid dan bertukar jadi ‘wanita’ apabila lepak di kedai-kedai makan atau pusat beli-belah.
Ini semua memang janji syaitan yang dibuat di hadapan Allah iaitu untuk menyesatkan umat Nabi Muhammad. Ia dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus; kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur”. (al-A’raaf: 16 &17)
Sebab itu, dianalogikan bagaimana umat Islam mampu membantu saudara kita yang diserang oleh Yahudi di Palestin sedangkan mahu ‘berperang dalam diri’ untuk solat subuh pun kita gagal.
Peperangan dalam diri itu dijelaskan melalui sabda baginda SAW yang bermaksud: Syaitan melilit seorang antara kalian dengan tiga lilitan ketika dia tidur. Dengan setiap lilitan syaitan membisikkan: Nikmatilah malam yang panjang ini. Apabila dia bangun lalu mengingati Allah, maka terlepaslah lilitan itu.
Apabila dia berwuduk, lepaslah lilitan kedua. Kemudian apabila ia solat, lepaslah lilitan ketiga, sehingga dia menjadi bersemangat. Tetapi, kalau tidak, dia akan terbawa lembab dan malas.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dr. Raghib As-Sirjani dalam bukunya Misteri Solat Subuh menukilkan tentang seorang penguasa Yahudi berkata, “Kami takut kalau bilangan umat Islam melaksanakan solat Subuh berjemaah menyamai atau melebihi umat Islam melaksanakan solat Jumaat.”
Inilah sebaik-baik manifestasi bagi menunjukkan kebencian terhadap Zionis dengan bangun solat Subuh berjemaah. Inilah peperangan sebenar umat Islam. Memang bukan mudah untuk bangun dari tidur, bersuci dan kemudian bergerak ke masjid bagi menunaikan solat Subuh secara berjemaah.
Solat Subuh juga akan meletakkan seseorang itu dalam jaminan Allah. Ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang menunaikan solat subuh maka dia berada dalam jaminan Allah. Allah tidak sesekali menggugurkan daripada jaminan-Nya dengan sesuatu. Oleh yang demikian, sesiapa yang menggugurkan daripada dirinya jaminan Allah, pasti dia akan mendapatkannya (balasan). Kemudian wajahnya akan ditelangkupkan dalam neraka.” (Riwayat Muslim)
Ada satu kisah yang masyhur, ketika pemerintahan khalifah Umar al-Khattab. Beliau mendapati Sulaiman bin Abi Hathmah tidak hadir solat Subuh berjemaah. Pada pagi itu juga beliau ke rumah sahabatnya lalu bertanya kepada ibunya al-Shifa’: “Saya tidak melihat Sulaiman ketika solat Subuh?
Lalu al-Shifa’ menjawab: Dia solat malam lalu tertidur pada pagi harinya. Kemudian Saidina Umar berkata: Sungguh, berjemaah dalam solat Subuh itu lebih baik bagiku daripada solat malam.
Selain itu, mereka yang solat Subuh juga disaksikan oleh malaikat. Ia berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: Malaikat bergantian melihat kalian pada siang dan malam. Para malaikat itu bertemu di solat Subuh dan Asar. Kemudian yang bermalam dengan kalian naik (ke langit) dan ditanya oleh Rabb mereka, dan Dia lebih tahu keadaan hamba-hamba-Nya, Bagaimana keadaan hamba-hambaku ketika kalian tinggalkan?’ Para malaikat menjawab, ‘Kami meninggalkan mereka dalam keadaan solat dan kami mendatangi mereka dalam keadaan solat.” (Riwayat Bukhari-Muslim)
Boleh juga pihak masjid dan surau menganjurkan majlis makan-makan atau sarapan pagi selepas Subuh sebagai antara tarikan jemaah solat berjemaah. Kalau tak buat setiap hari pun, buatlah pada hujung minggu. Insya-Allah bilangan jemaah akan meningkat terutama kanak-kanak dan remaja.-UTUSAN
Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.










