Bekas pengawal keselamatan dilepas, dibebas tuduhan edar dadah

Bekas pengawal keselamatan dilepas, dibebas tuduhan edar dadah

MOHD. Daud Ismail bersama Kathiravan selepas tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan dadah di Mahkamah Tinggi, Johor Bahru hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang bekas pengawal keselamatan daripada tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 715.24 gram di Taman Rinting, lima tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, P. Kathiravan yang berusia 33 tahun.

Dalam hujahan penghakimannya, Abdul Fareed berkata, tiada keterangan yang membuktikan bahawa tertuduh mempunyai pengetahuan mengenai barang kes yang didakwa disimpan di dalam motosikal bernombor JKE3580.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, pegawai penyiasat hanya merekodkan kenderaan Honda Odyssey dan kewujudan kunci motosikal tersebut tidak dinyatakan dalam laporan serbuan mahupun borang geledah, sebaliknya hanya direkodkan dalam Borang Serah Terima.

“Terdapat percanggahan berkenaan kedudukan dan warna motosikal itu. Motosikal tersebut tidak disiasat dan tidak dikemukakan di Mahkamah untuk pemeriksaan.

“Identiti motosikal tidak dapat disahkan, termasuk sama ada ruang simpanan di bawah tempat duduk benar-benar wujud, boleh dibuka menggunakan kunci yang dikemukakan dan berupaya memuatkan barang kes.

“Ketulenan serta kesahihan kunci tersebut juga tidak dapat dipastikan. Gambar ruang simpanan, ukuran dan acuan pakai tidak dikemukakan, menyebabkan mahkamah tidak dapat memastikan sama ada bungkusan barang kes boleh dimuatkan di dalam ruang tersebut,” ujarnya.

Abdul Fareed berkata, pihak pendakwaan gagal memanggil saksi-saksi material untuk menjelaskan percanggahan dan isu berkaitan motosikal tersebut iaitu pegawai serbuan yang pertama kali membuat tangkapan terhadap tertuduh.

Beliau berkata, pihak pendakwaan juga gagal memanggil penghuni rumah di mana motosikal ditemui dan saksi-saksi lain yang boleh menjelaskan isu akses kepada rumah serta motosikal berkenaan.

“Pegawai penyiasat mengakui bahawa siasatan tidak lengkap, termasuk kegagalan mengambil gambar, membuat ukuran dan menyediakan acuan pakai. Pegawai penyiasat juga tidak boleh memastikan sama ada motosikal tersebut digunakan oleh orang lain, termasuk penama Prakash,” katanya.

Oleh yang demikian, katanya, pihak pendakwaan gagal menutup kelompangan dalam kesnya dan mematahkan keraguan yang timbul daripada keterangan yang dikemukakan.

“Kegagalan ini menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes Pendakwaan. Kesimpulannya, pihak Pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Tertuduh.

“Oleh itu, Mahkamah memutuskan bahawa tertuduh tidak perlu dipanggil untuk membela diri dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan. Segala eksibit yang berkaitan hendaklah dilupuskan menurut perintah Mahkamah,” ujarnya lagi.

Bagi pertuduhan tersebut, Kathiravan didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu methamphetamine seberat 715.24 gram dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di No. 81, Jalan Cendana 13, Taman Rinting Masai, Johor Bahru pukul 8.45 malam, pada 26 Mei 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini