Masalah letak kereta, tiada promosi punca Arked Mara lengang

Masalah letak kereta, tiada promosi punca Arked Mara lengang

Kedudukan Arked Mara Batu Gajah yang terlindung dan tidak menghadap jalan besar serta tempat meletak kereta yang terhad antara punca premis itu tidak ramai pengunjung.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Arked Mara yang menjadi pusat perniagaan Melayu terus sepi walaupun bangunannya terletak di lokasi strategik.

Tinjauan Utusan Malaysia di Arked Mara Batu Gajah dan Teluk Intan mendapati, suasana pusat perniagaan itu lengang, tidak seperti pusat perniagaan lain walaupun semua unit kedai yang ditawarkan di arked tersebut mempunyai penyewa.

Masalah tempat meletak kereta, kurangnya aktiviti untuk promosi perniagaan dan tidak sokongan daripada pembeli Melayu antara punca arked Mara lengang.

Meor Azli Burhanuddin, 47, yang menjalankan perniagaan menggunting rambut di Arked Mara Batu Gajah berkata, selama hampir 15 tahun menjalankan perniagaan di situ, suasananya tidak berubah, masih lengang dan kurang pelanggan.

Katanya, kekurangan parkir menjadi sebab utama pelanggan keberatan untuk datang ke arked itu.

“Bangunan arked ini terletak di lokasi yang strategi, di tengah-tengah bandar Batu Gajah tetapi kurang pelanggan sejak dahulu lagi kerana di sini susah hendak meletakkan kenderaan.

“Inilah yang menjadi rungutan pelanggan yang mahu datang ke arked ini, selain bangunan ini agak terlindung dan reka bentuk bangunan tidak dibina menghadap jalan menyebabkan orang tertanya-tanya apa yang ada di sini.

“Setakat ini saya masih mampu bertahan walaupun kurang pelanggan kerana sewanya rendah.

“Selain itu saya berharap orang Melayu dapat menyokong perniagaan kami datang ke arked ini,” katanya.

Suasana yang sama juga dialami di Arked Mara Teluk Intan sehingga menimbulkan rasa kecewa penduduk.

Mohd Jani Johari, 56, dari Bandar Baru Bangi, Selangor yang berasal dari Sungai Manik di Teluk Intan berkata, arked Mara di sini bukan asing baginya kerana pernah menjalankan perniagaan di situ suatu masa dahulu dan suasananya ketika itu ramai pelanggan.

Menurutnya, namun suasana sekarang sudah bertukar menjadi lengang.

“Dulu perniagaan di arked Mara ini meriah tetapi sekarang saya sedih tengok bangunan tempat Melayu berniaga sunyi, sedangkan premis perniagaan bangsa nampak sibuk, meriah.

“Di sini semakin hambar sedangkan sepatutnya jadi tumpuan pelanggan Melayu tapi makin hari makin sepi,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu mungkin disebabkan kurang promosi, tiada daya tarikan dan sikap peniaga kerana dia mendapati sehingga hampir tengah hari, ada peniaga yang belum membuka perniagaan mereka.

“Sepatutnya diadakan pelbagai aktiviti dan program untuk menarik pelanggan supaya arked Mara ini jadi tumpuan seperti musim cuti sekolah sekarang diadakan acara untuk kanak-kanak.

“Saya lihat kompleks perniagaan yang dibina agensi lain seperti di Bangi, meriah kerana ada pelbagai aktiviti dan promosi perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Mara Daerah Hilir Perak dan Bagan Datuk, Mohd Afiq Naim Zamri mengakui kekurangan pelanggan yang dialami di Arked Mara Teluk Intan dan pihaknya sedang berusaha untuk menghidupkan semula suasana di pusat perniagaan itu.

“Kami faham suasana di sini nampak suram tapi kita cuba menghidupkan suasana di sini. Antaranya kita mencari penyewa yang boleh buat perniagaan cenderamata untuk menarik pelanggan, menukar penyewa yang selalu tutup kedai atau peniaga yang tidak aktif.

“Lokasi arked ini strategik, berhadapan dengan Menara Condong, sekarang kita mahu mencari penyewa yang boleh menarik pelancong untuk arked ini menjadi tumpuan ramai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×