PETALING JAYA: Sebanyak 6.5 juta rakyat Malaysia telah menerima inisiatif kredit eMadani RM100 membabitkan dana sebanyak RM650 juta.
Jumlah itu berdasarkan statistik terkini yang dikeluarkan Kementerian Kewangan pada pukul 9 pagi semalam sejak inisiatif itu mula dibuka kepada rakyat berkelayakan sejak Isnin lalu.
Perkembangan tersebut menyaksikan hanya tinggal 3.5 juta rakyat atau bersamaan nilai RM350 juta yang belum menuntut kredit RM100 itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, seramai 6.5 juta rakyat yang layak telah berjaya menerima eMadani RM100 seorang dengan dana berjumlah RM650 juta.
Namun beliau meminta orang ramai tidak tergesa-gesa membuat tuntutan inisiatif kredit RM100 eMadani kerana mempunyai masa sehingga 20 Februari 2024 untuk berbuat demikian.
“Orang ramai dinasihatkan tidak terpedaya dengan helah scammer atau penipu yang menawarkan khidmat penebusan tunai (cash out) bagi kredit e-tunai RM100 itu.
“Tujuan kerajaan memperkenalkan kredit eMadani ini untuk memupuk amalan cashless society (masyarakat tanpa tunai) dengan mengalakkan rakyat melakukan pembayaran itu ketika berbelanja membeli barangan keperluan harian,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Kewangan memaklumkan lebih tujuh juta permohonan diterima bagi inisiatif kredit RM100 eMadani sejak mula dibuka bermula pukul 8 pagi, Isnin lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, tuntutan kredit secara sekali bayar itu akan memberi manfaat kepada 10 juta rakyat dewasa yang layak, melibatkan peruntukan RM1 bilion.
Kerajaan memaklumkan nilai kredit tidak boleh digunakan bagi pemindahan ‘peer-to-peer’ atau penebusan tunai sebaliknya boleh digunakan untuk pembelian secara fizikal melalui e-dompet yang terlibat iaitu MAE, Setel, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet atau QR DuitNow di 1.8 juta peruncit atau perniagaan seluruh negara.
Dalam pada itu, Ahmad memaklumkan permohonan mereka untuk mendapatkan kredit RM100 juga tidak dapat diluluskan walaupun melakukan e-Filing pada masa terdekat kerana kerajaan menggunapakai rekod LHDN sehingga 15 Julai lalu.
Katanya, inisiatif kredit RM100 eMadani hanya dibuka kepada warga Malaysia mencapai umur 21 tahun ke atas yang berpendapatan RM100,000 dan ke bawah setahun berdasarkan rekod LHDN atau penerima STR.
“Selain untuk membantu rakyat Malaysia, usaha kredit e-Madani ini bertujuan untuk mengalakkan rakyat membuat pengisytiharan pendapatan menerusi sistem e-Filing sekalipun menerima pelepasan cukai.
“Usaha ini tidak terbuka kepada belia yang menerima bantuan eBelia Rahmah RM200. Ini kerana bagi memberi peluang lain kepada rakyat Malaysia untuk mendapat bantuan RM100,” katanya.
Sementara itu, Ahmad berkata, penerima eBeliaRahmah tidak layak untuk menerima kredit eMadani RM100 memandangkan mereka telah mendapat manfaat daripada kredit itu pada Jun lalu.
Katanya, syarat kelayakan memohon eMadani ialah warga Malaysia berumur 21 tahun ke atas pada 1 Januari 2023 dan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berdasarkan rekod pada 7 November 2023.
Selain itu, mempunyai pendapatan dan pendapatan itu adalah RM100,000 dan ke bawah setahun berdasarkan rekod Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) setakat 15 Julai 2023.
“Contoh mereka yang memohon tetapi tidak dapat ialah pelajar universiti kerana baru-baru ini dia (pelajar) telah menerima eBeliaRahmah RM200.
“Justeru, dia tidak layak menerima kredit e-dompet eMadani,” katanya selepas Program Walkabout eMadani bersama Kementerian Kewangan semalam. – UTUSAN











