Lima punca kerap banjir - Utusan Malaysia

Lima punca kerap banjir

Bencana banjir yang melanda Kelantan hampir setiap tahun boleh menjadi lebih buruk sekiranya sungai dan parit tidak diselenggara dengan baik. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sungai dan parit tidak diselenggara dengan baik sehingga terlalu banyak sampah dan semak samun antara lima punca utama mengundang banjir berulang dan banjir termenung di beberapa negeri.

Tiga lagi masalah ialah pintu air tidak berfungsi, hakisan tebing dan ketiadaan ban penahan banjir.

Masalah-masalah tersebut dilapor penduduk di Kedah, Kelantan, Perak, Johor dan Selangor yang sudah bosan kerana terlalu kerap dilanda banjir kilat atau banjir ‘termenung’ walaupun di luar musim bah.

Penduduk mendakwa, jika pihak berkuasa tempatan (PBT) cepat bertindak terhadap laporan dan keluhan penduduk, perkara tersebut boleh diatasi.

Malangnya, mereka mendakwa PBT tidak peduli dengan aduan-aduan dan cadangan-cadangan penduduk sehingga mereka terpaksa berdepan masalah banjir setiap kali hujan lebat.

DI KLUANG, Johor, tinjauan di tebing Sungai Melantai mendapati runtuhan tebing sungai kian menghampiri jalan utama dan sekiranya dilanda banjir, ia boleh menjejaskan laluan penduduk Kampung Bentong jika jalan penghubung ke kampung itu terputus.

PENUH

Keadaan diburukkan lagi sekiranya air di Sungai Beladong dan Sungai Mengkibol yang terletak di bahagian bawah penuh, seterusnya menghalang aliran air dari Sungai Melantai.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Kamal berkata, banjir biasanya berlaku pada Disember atau Januari setiap tahun di Kampung Bentong, namun hingga kini belum ada tindakan segera untuk mengatasi masalah runtuhan tebing dan tembok penghadang yang pecah.

Sekiranya berlaku runtuhan tebing yang menyebabkan jalan penghubung terputus, penduduk kampung terpaksa menggunakan laluan yang jauh untuk ke bandar Kluang atau mendapatkan ihsan dari Kem Mahkota bagi memberikan kebenaran menggunakan jalan.

Di Kota Tinggi, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Jalan Balau, Md. Johari Dol mendakwa, bah berlaku berikutan saluran parit di hadapan Taman Desaru Utama tersebut tidak diselenggara dengan baik.

“Antara punca banjir yang berlaku di sini tiga kali sejak 2021 disebabkan pembetung parit yang kecil di kawasan perumahan, ditambah pula peningkatan air di saluran parit ekoran pembukaan taman baharu serta hujan berterusan menyebabkan air melimpah ke rumah penduduk,” katanya.

Penduduk sudah letih berdepan banjir, bahkan ramai antara penyewa taman perumahan itu yang ‘angkat kaki’ dan mencari rumah lain,” katanya.

MEMBESIHKAN

Di TELUK INTAN, Perak, walaupun Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah membersihkan dua sungai berdekatan Kampung Bahagia iaitu Sungai Kerawai dan Sungai Bidor, penduduk memohon pihak berkuasa menaik taraf longkang dan sistem peparitan di sekitar kampung itu bagi membolehkan aliran air bergerak dengan lancar ke sungai.

Seorang penduduk, Mohd. Ismail Bawok, 55, berkata, longkang dan parit di kampung banyak yang tersumbat dengan sampah dan semak-samun yang menyumbat aliran air, menyebabkan banjir lambat surut.

“Saya duduk di kampung ini sejak tahun 1990-an. Inilah punca banjir di sini apabila air tidak dapat mengalir dengan baik malah jika hujan lebat, air dari dua sungai berdekatan kampung ini melimpah dan masuk ke kawasan rumah penduduk,” katanya.

Penduduk Kampung Simpang Tiga, Batu 9 Jalan Changkat Jong berdekatan Sungai Bidor juga meminta kerajaan membina benteng kukuh untuk mengelak hakisan tebing di sungai tersebut kerana mendakwa rumah mereka terletak terlalu dekat dengan dengan tebing sungai yang semakin terhakis dan boleh roboh jika hujan lebat.

DI KUALA NERUS, Terengganu, seorang penduduk yang mahu dikenali Aziz, 43, dari Kampung Banggol Tok Jiring mendakwa, sistem perparitan yang cetek dikatakan menjadi punca utama berlaku banjir di beberapa daerah di Terengganu setiap kali musim tengkujuh.

“Jika berlaku hujan lebat terutama di bahagian Hulu Terengganu, paras air di Sungai Nerus akan naik sehingga melimpah ke tali air atau parit-parit di kampung sekitar Kuala Nerus,” katanya.

Seorang lagi penduduk di Taman Desa Tanjung Damai, Gond Badak, Nazri Mohd. Noor, 45, berkata, projek tebatan banjir di tali air yang menempatkan pintu air serta pam penyedut air hanya berfungsi baik sekiranya hujan lebat di daerahnya dan Kuala Terengganu sahaja.

“Sekiranya cuaca buruk turut menimpa kawasan atau daerah hulu, paras air di tali air ini naik dengan mendadak dan mengatasi kapasiti yang mampu ditanggung tebatan banjir ini,” katanya.

PENDUDUK

DI SHAH ALAM, Selangor penduduk sekitar Seksyen 13 meminta kerajaan negeri menilai semula projek pembangunan terutama berhampiran Kompleks Sukan Shah Alam kerana ia dipercayai menyebabkan gangguan kepada saliran air seperti tersumbat akibat sisa binaan sehingga mencetuskan banjir kilat.

Seorang penduduk di sebuah pangsapuri di sini, Alisah Mohd. Ismail, 31, berkata, keadaan lebih buruk bila hujan lebat lebih sejam disusuli peningkatan paras air di Sungai Damansara yang terletak kurang 500 meter dari kawasan perumahan di situ.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Zubir Ahmad Zulkarnain, 37, berkata, kawasan perumahannya jarang dinaiki air namun masalah itu kerap berlaku akhir-akhir ini kerana percaya limpahan berlaku dari sungai, menyebabkan paras air meningkat tiba-tiba sehingga lorong motosikal dan sebahagian laluan utama Lebuhraya Persekutuan ditenggelami air.

Tinjauan Utusan Malaysia di sungai berkenaan mendapati terdapat kolam-kolam penampan banjir di sebelah tebing sungai namun tiada ban penahan limpahan air bagi mengelakkan lebihannya melimpah masuk ke kawasan rendah dan terdapat juga kesan-kesan peningkatan air sungai terutama pada kaki-kaki bangunan sekitarnya ketika banjir kilat awal bulan lalu.

DI KUALA SELANGOR, penduduk di Jalan Rantau Panjang Kanan, Bestari Jaya merayu kerajaan menyegerakan projek menaik taraf ban di kampung itu bagi mengelak berlaku banjir lebih teruk.

“Jarak antara Sungai Selangor ke rumah kami dianggarkan hanya 10 meter dan ia berisiko tinggi jika berlaku banjir. Kami berharap kerajaan membina ban atau penahan banjir yang lebih kukuh bagi mengelak bah lebih besar kelak,” kata penduduk, Jumaayah Mustapah, 49.

Bagi Sulaiman Mohd. Taib, 46, terdapat kira-kira 16 rumah penduduk berada berdekatan tebing Sungai Selangor tersebut.

“Ketiadaan ban atau penahan banjir turut dibimbangi menyebabkan berlaku hakisn sungai berkenaan. Jika dibiarkan berlarutan, kami bimbang ia mengundang risiko bahaya kepada rumah dan membahayakan nyawa kami,” katanya.

DISELENGGARA

DI SUNGAI PETANI, Kedah, penduduk mendakwa, sungai tidak diselenggara pihak berkuasa antara penyebab banjir kilat sering berlaku di Kampung Bukit Belah, Batu 2, setiap kali hujan lebat menjadikan aliran air Sungai Petani tersekat kerana dasarnya cetek sebelum melimpah ke kediaman penduduk.

Seorang penduduk, Johari Mat Isa, 53, berkata, kekerapan banjir kilat di kampung mereka termasuk dua kali tahun ini telah menyebabkan kerugian besar apabila hampir keseluruhan perkakas dan peralatan rumah rosak ditenggelami air.

“Dari awal tahun ini hingga sekarang tiada lagi pihak berkuasa datang membersihkan sungai atau melebarkannya untuk memudahkan aliran air. Kami hidup dalam ketakutan terutama dalam keadaan cuaca tidak menentu kerana bimbang kejadian banjir kilat akan berulang,” katanya.

DI TUMPAT, Kelantan, penduduk Ismail Pachu, 78, berkata, pintu air tidak berfungsi baik dan sempit menyebabkan pesawah di Kampung Bendang Pak Yong berdepan masalah banjir termenung dan kawasan sawah akan ditenggelami banjir sedalam 0.5 meter.

“Setiap kali musim tengkujuh dan bila paras air sungai Golok mencecah paras 10 meter, ia akan masuk ke dalam kawasak bendang sekali gus menyebabkan banjir,” katanya.

Seorang lagi petani, Abdullah Mat Yusof, 60, memberitahu, saban tahun mereka berdepan dengan masalah tersebut seolah-olah tanpa jalan penyelesaian secara tuntas.

“Selepas musim banjir biasanya air di kawasan kediaman penduduk kering, namun…. bendang padi masih ditenggelami air menyebabkan menyebabkan jadual penanaman padi terganggu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×