KLANG: “Jangan fikir banyak. Segera lari selamatkan diri.”
Demikian luahan penduduk Taman Rashna, di sini yang memilih untuk berpindah segera ke rumah saudara atau kenalan mereka jika kediaman mereka ditenggelami banjir.
Mereka yang masih terkesan dengan peristiwa banjir besar pada Disember 2021 tidak mahu kejadian banjir sekali lagi mendatangkan kerugian besar dan kepayahan kepada mereka.
Penduduk mendakwa sejak kejadian banjir itu, mereka tidak memesan perabot baharu bagi menggantikan yang rosak, sebaliknya cuma membeli perkakasan yang diperlukan sahaja.
Seorang penduduk, Thivagan, 46, berkata, berikutan hujan lebat setiap hari sejak kebelakangan ini, dia sudah menyimpan barang-barang berharga di tempat selamat dan bersedia untuk berpindah jika air mula naik.
“Dahulu pun saya pergi ke rumah saudara di Petaling Jaya ketika bah besar melanda pada tahun 2021, ketika itu air naik sehingga paras pinggang.
“Walaupun tak dapat menyelamatkan kebanyakan barang seperti televisyen, mesin basuh dan sofa, tapi sekurang-kurangnya barang seperti dokumen diri, barang kemas dan sebuah kereta dapat diselamatkan.
“Saya tinggal sementara di rumah mereka lebih seminggu walaupun selepas banjir surut kerana air banjir yang melimpah masuk turut membawa lumpur,” katanya ketika ditemui.
Baru-baru ini, laluan utama masuk ke kawasan tersebut di Jalan Batu Tiga Lama ditenggelami air selepas hujan lebat kerap melanda sejak awal bulan lalu menyebabkan penduduk di perumahan tersebut terperangkap lebih sejam.
Paras air di situ ketika itu naik lebih hampir satu meter menyebabkan kenderaan kecil tidak boleh melepasinya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, L. Kumara Muthusamy, 73, memberitahu dia sekeluarga tidak membeli perabot baharu selepas tragedi bah besar tersebut yang menyebabkan dia menanggung banyak kerugian selain kerosakan rumah lebih RM10,000.
“Sekarang saya hanya pakai perkakas rumah yang diperbuat daripada besi kerana ia lebih tahan lama dalam air.
“Kalau air masuk rumah, saya akan terus bawa semua kereta ke laluan motosikal Lebuh raya Persekutuan kerana kawasan tersebut lebih tinggi,” katanya yang sudah tinggal lebih 40 tahun di sana.-UTUSAN










