SEMPENA Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara di Putrajaya pada 23 Oktober lalu, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengisian Program Pameran telah mengadakan Pameran Pendidikan Tinggi yang mengetengahkan produk inovasi institusi pendidikan tinggi (IPT) di bawah kluster Kesihatan Awam, Keterjaminan Makanan, Teknologi Termaju dan Warisan Bangsa.
Pameran bertemakan IPT Pemangkin Pembangunan Negara Madani ini adalah satu usaha besar julung-julung kali dibuat melibatkan institusi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan IPT awam (IPTA) serta swasta (IPTS) seluruh negara.
Produk diketengahkan melibatkan hasil kajian penyelidikan dan pembangunan (R&D) diusahakan oleh para penyelidik di IPT tempatan yang sedia untuk diperluaskan penggunaannya ke seluruh negara dan terdapat juga produk dalam proses pengkomersialan.
Antara hasil kajian R&D dipamerkan adalah Brakiterapi Kanser Lidah hasil usaha Profesor Madya Dr. Hasni Arsad dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang merupakan satu kaedah perawatan yang memberi sinar harapan kepada pesakit kanser lidah untuk sembuh.
Turut mendapat perhatian ialah produk Satelit Nano Y dibangunkan oleh Dr. Norilmi Amilia Ismail dari USM. Pembinaan satelit nano dan piko telah mengurangkan kos dan membolehkan institusi pendidikan dan syarikat terlibat dalam industri satelit. Satelit nano pertama dilancarkan oleh USM pada Jun lalu manakala satelit piko pertama akan dilancarkan November depan.
Selanjutnya ialah produk Padi Putra yang memberikan peningkatan hasil lebih daripada 30 peratus berbanding varieti padi semasa seterusnya dapat meningkatkan pendapatan pesawah dengan lebih 2,000 tan benih ini ditanam oleh pesawah di Semenanjung Malaysia dihasilkan oleh Profesor Dr. Mohd. Rafii Yusop dan Profesor Madya Dr. Hasliza Abu Hassim dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
Turut ditonjolkan ialah produk Halal Gelatin iaitu penghasilan gelatin yang mampan, berkualiti tinggi dan halal dari kepala ayam yang kaya dengan protein yang akan memenuhi permintaan tinggi dan meluas seterusnya menyumbang secara signifikan kepada pembangunan hab pengeluar makanan halal di Malaysia dicipta Profesor Dr. Jamilah Bakar dan Profesor Dr. Nazamid Saari dari UPM.
Selain itu ialah platform vaksin oral tempatan yang dapat mengatasi masalah ketakutan psikologi rakyat terhadap jarum suntikan dan lebih mesra alam sekali gus membolehkan Malaysia berupaya melaksanakan ujian klinikal first-in-human bagi vaksin baharu dibangunkan oleh Profesor Dr. Sazaly Abu Bakar dan Dr. Norhidayu Sahimin dari Universiti Malaya (UM).
Seterusnya, produk Dialisis Mudah Alih yang membolehkan pesakit bergerak melakukan aktiviti harian mereka sambil melakukan dialisis malah membolehkan pesakit ESRD (kegagalan ginjal) melancong ke luar negara dicipta oleh Profesor Dr. Azrul Azlan Hamzah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
PROTON PREVE
Antara yang mendapat perhatian ialah rekaan Dr. Norashady Mohd. Noor dari Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), iaitu robot penghantar barang tanpa pemandu dan dua kenderaan penumpang tanpa pemandu, selain ubahsuaian sebuah kereta Proton Preve daripada enjin petrol kepada enjin elektrik sepenuhnya yang juga mampu bergerak tanpa pemandu.
Turut dipamerkan ialah produk-produk lain seperti inisiatif kecerdasan buatan (AI) dan Robotik Termaju oleh Profesor Ir. Dr. Ahmad Athif Mohd. Faudzi dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Teknopolis Kesihatan oleh Profesor Datuk Dr. Hanafiah Harunarashid dari UKM, Pusat Tenaga Nasional oleh Prof. Madya Dr. Woon Hai Song dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Teknologi Elektronik Perubatan oleh Dr. Mohd Najib Hamdan dari Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA).
Seterusnya ialah projek Artemia: Makanan dan Alternatif Akuakultur oleh Profesor Dr. Yeong Yik Sung dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Manuskrip Digital oleh Profesor Madya Dr. Fatma Susilawati Mohamad dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Pustaka Digital Kebangsaan oleh Fairus Aini Pairan dari UM.
Tokoh penting di sebalik kejayaan Pameran Pendidikan Tinggi ini, iaitu Ketua Pengarah JPT, Profesor Dr. Azlinda Azman berkata, adalah penting untuk hasil penyelidikan berimpak tinggi ini dikongsikan bersama penyelidik, pelajar serta wakil-wakil agensi kerajaan dan swasta.
Tambahnya, “Kita juga berharap agar hasil penyelidikan tidak hanya tinggal di peringkat makmal, sebaliknya perlu dikomersialkan dan seterusnya dapat menyumbang kepada keperluan, pembangunan dan kesejahteraan masyarakat.
“Pelajar juga akan dapat memahami dan berasa bangga akan penghasilan penyelidikan universiti yang adakalanya sesuai untuk pelajar mencari peluang menjadi usahawan atau memulakan starts up (pemula),” ujarnya.
Tahniah kepada JPT atas daya usahanya mengumpul dan mempamerkan produk inovasi para penyelidik IPT tempatan ini kerana tanpa pendedahan ini, tidak ramai tahu bahawa IPT tempatan sebenarnya telah berjaya menghasilkan produk inovasi berimpak tinggi.
Tahniah juga kepada para penyelidik IPT tempatan yang produk inovasi mereka dipamerkan ini. semoga kejayaan mereka akan mendorong lebih banyak produk inovasi baharu dicipta.
Tidak lupa juga penghargaan semestinya perlu diberikan kepada Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang banyak menekankan kepada transformasi penyelidikan di IPT sejak beliau memegang jawatan Menteri Pendidikan Tinggi. – UTUSAN
PENULIS ialah Setiausaha Pertubuhan Pemberdayaan Ummah (BERDAYA).











