MARANG: Pulau Kapas di sini tidak ubah seperti pulau terbiar yang sepi tanpa pengunjung menyebabkan sebahagian besar perniagaan resort di situ kini tinggal nyawa-nyawa ikan.
Lokasi yang lazimnya meriah dengan kehadiran 500 hingga 1,000 pelancong dalam satu-satu masa kerana terletak berdekatan Kuala Terengganu, kini menerima kurang daripada 20 orang pengunjung sehari berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB).
Pulau Kapas menempatkan sembilan resort dan empat kawasan tapak perkhemahan di samping terdapat 10 syarikat bot yang menawarkan khidmat penghantaran ke destinasi popular itu.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, masing-masing hanya dua resort dan syarikat bot yang beroperasi sejak 22 Februari lalu manakala selebihnya masih menutup sementara perniagaan masing-masing sebelum beroperasi pada 5 Mac ini.
Bagi pengusaha bot yang terdesak untuk mendapatkan pelanggan, memaksa mereka mempromosikan harga luar biasa murah termasuk serendah RM10 bagi perjalanan sehala ke Pulau Kapas walaupun harga asalnya adalah RM40 sehala.
Walaupun kerajaan membenarkan aktiviti rentas daerah selepas tempoh PKPB tamat di Terengganu pada 4 Mac ini, namun keadaan itu tetap dijangka tidak mampu memberi perubahan besar dalam menyelamatkan kocek rata-rata pengusaha yang makin nazak.
Ini kerana kebanyakan pengunjung pulau peranginan itu bukan dalam kalangan orang tempatan, sebaliknya mereka yang datang dari Lembah Klang di samping negeri-negeri lain.
Pengurus Kapas Coral Beach Resort, Noria Hashim, 38, berkata, resort yang diusahakan keluarganya sejak lebih 10 tahun lalu kini tinggal nyawa-nyawa ikan hingga memaksa mereka menjual pelbagai aset termasuk barangan kemas dan bot-bot bagi meneruskan kehidupan.
Katanya, keadaan yang terus menghimpit menyebabkan separuh daripada 40 pekerja ditamatkan perkhidmatan buat sementara waktu.
“Kerugian yang ditanggung terlampau besar sejak pandemik Covid-19 dengan kos operasi resort dan 12 bot yang melebihi RM30,000 sebulan, sedangkan sumber kewangan sudah di tahap akhir, jadi kita tiada pilihan selain menjual aset-aset yang ada seperti bot, kereta dan barangan kemas.
“Baru-baru ini kita turut mengiklankan untuk menjual bot mewah tetapi dalam keadaan begini tentunya tidak laku kerana semua pengusaha menderita nasib sama,” katanya.
Menurut Noriah, walaupun operasi resort dan bot syarikatnya bermula hampir dua minggu lalu namun sambutan yang diterima masih hambar, bahkan berdepan kesukaran untuk mendapatkan 10 orang pelancong sehari.
Katanya, kebanyakan pelanggan kini cuma mengikuti pakej sehari pulau dan tidak menginap di resort.
“Tetapi nak dapatkan 10 pengunjung dalam sehari pun susah sebab kebanyakan pengunjung ke Pulau Kapas bukan orang tempatan, sebaliknya orang luar dari Terengganu termasuk Lembah Klang.
“Kalau diikutkan harga ditawarkan itu tidak logik kerana melibatkan potongan 50 peratus berbanding harga asal tiket pergi-balik sebanyak RM40 dan kita turut menanggung kerugian kerana jumlah pengunjung yang hambar,” katanya
Sementara itu, pemandu bot di Makcik Gemuk Boat Service, Mohammad Tarmizi Sulaiman, 33, berkata, orang ramai yang mengikuti pakej sehari pulau berpeluang menikmati harga istimewa RM40 bagi tiket bot pergi dan balik di samping bersnorkel di Taman Laut.
“Harga asal bagi aktiviti snorkel ialah RM25 dan sepanjang tempoh promosi hingga 3 Mac, pengunjung dikecualikan daripada bayaran tersebut dan cuma membayar RM40 untuk tambang bot.
“Sejak dibuka pada 22 Mac, jumlah pengunjung antara lapan ke sembilan orang sahaja untuk hari biasa dan mungkin meningkat sedikit pada hujung minggu,” katanya.
Menurut Mohammad Tarmizi, sepanjang 12 tahun menjadi pemandu bot di Pulau Kapas, ini merupakan kali pertama pulau peranginan itu suram. – UTUSAN










