100 bakal jemaah kecewa, hasrat tunai umrah tak kesampaian

100 bakal jemaah kecewa, hasrat tunai umrah tak kesampaian

ANTARA bakal jemaah umrah menaiki bas pulang semula ke hotel setelah penerbangan ke Arab Saudi dibatalkan pada saat akhir di KLIA, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kira-kira 100 bakal jemaah umrah terpaksa berputih mata selepas penerbangan mereka ke Arab Saudi bagi menunaikan ibadah itu didakwa dibatalkan pada saat-saat akhir oleh sebuah agensi pengendali umrah tanpa notis awal.

Seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Elin, 41, berkata, ekoran masalah itu, hasrat menunaikan umrah buat kali pertama bersama kedua-dua ibu bapanya tidak kesampaian.

Wanita terbabit benar-benar tidak menyangka berdepan situasi sedemikian memandangkan kira-kira 100 bakal jemaah umrah sudah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dari negeri masing-masing, Isnin lalu.

Katanya, rombongan tersebut dijadual berlepas ke Jeddah kira-kira pukul 3.30 petang namun dibatalkan selepas pihak agensi mendakwa terdapat masalah teknikal pada syarikat penerbangan.

“Bila sampai KLIA, (agensi) kata ada masalah teknikal jadi tidak boleh ‘fly” ke Jeddah, rupanya mereka (agensi) yang booking (penerbangan) tidak bayar untuk 100 jemaah. Lepas itu, kami tersidailah di lapangan terbang sampai petang.

“Bagaimanapun, pihak agensi masih bertanggungjawab sebab sewa bas dan hotel. Mereka cakap tunggu pihak pengurusan untuk booking penerbangan seterusnya. Jadi kami semua menunggu (di hotel) tapi tiada apa-apa makluman selepas itu, staf (agensi) hanya beritahu tunggu pengurusan sedang buat kerja.

“Sampailah hari kedua di hotel (kelmarin) masih tiada maklum balas. Selepas itu saya kata kalau tidak jadi pergi dan tiket tiada saya akan hubungi polis dan panggil wartawan. Selepas kita beri ruang, jawapan mereka masih sama dan mengecewakan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Elin berkata, dia tidak menyalahkan agensi umrah itu 100 peratus akibat pembatalan yang berlaku kerana mereka tetap mengambil tanggungjawab dengan menyewa bas untuk membawa kumpulan bakal jemaah ke hotel termasuk menanggung tiket pulang ke negeri masing-masing iaitu Kelantan, Johor, Pahang, Sabah dan Perak.

Katanya, Isnin lalu adalah situasi kedua yang perlu dihadapi oleh rombongan berkenaan selepas kali pertama penerbangan ditangguhkan pada 14 Ogos.

“Selepas terkandas, kami buat satu laporan polis di sebuah balai di Sepang. Kemudian, ada yang minta agensi pulangkan semula wang mereka dan kami dimaklumkan siapa yang mahu teruskan, agensi menyusun semula jadual.

“Tapi kami sekeluarga pilih supaya agensi berkenaan pulangkan wang dengan menyertakan jaminan untuk bayaran balik, itu yang kami persetujui,” katanya.

Jelas Elin, dia bersama ibu bapa serta seorang adik mengambil pakej untuk menunaikan umrah selepas Hari Raya Aidiladha baru-baru ini dengan bayaran kira-kira RM40,000 dari sebuah agensi yang beroperasi di Kota Bharu, Kelantan.

“Itu bukan agensi umrah baharu, sudah lama sebenarnya dan agak popular, ada juga ahli keluarga kami yang pernah pergi umrah sebelum ini bersama mereka.

“Mungkin lepas ini saya akan cuba untuk mencari agensi lain untuk bawa kedua ibu bapa. Ini kerana selepas pulang ke rumah, bapa saya yang juga seorang muallaf benar-benar sedih dan kecewa berikutan hasratnya yang tidak tercapai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN