SEPANG: Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd (Andalusia) menyasarkan seramai 80,000 jemaah menunaikan ibadah umrah bersama syarikat itu bagi musim 1448H/2026.
Lembaga Pengurusan Umrah Andalusia, Norrul Balqes Abu Baker berkata, sasaran itu ditetapkan seiring persiapan rapi syarikat termasuk aspek pengurusan penerbangan, penginapan, logistik dan kebajikan jemaah.
Beliau berkata, bagi musim 1448H, pihaknya telah menambah baik dan memperbaharui atur cara perjalanan di Mekah dan Madinah bagi memberikan pengalaman ibadah yang lebih bermakna kepada jemaah.
“Lebih menarik, Andalusia turut menawarkan pakej yang merangkumi penginapan selama satu malam di Taif serta lawatan percuma ke Tapak Peperangan Badar sebagai nilai tambah kepada jemaah.
“Inisiatif itu memberi peluang kepada jemaah untuk menelusuri lokasi bersejarah yang mempunyai kaitan rapat dengan perkembangan Islam selain melengkapkan perjalanan ibadah mereka di Tanah Suci,” katanya ketika ditemui pada majlis pelepasan kumpulan pertama 90 jemaah umrah menerusi penerbangan Saudi Airlines bagi musim 1448H, di sini semalam
Dalam pada itu, Norrul Balqes berkata, Andalusia memilih untuk meneruskan kerjasama dengan Saudi Airlines sebagai syarikat penerbangan utama berikutan rekod prestasi cemerlang syarikat itu dalam mengendalikan penerbangan ke Arab Saudi.
Menurutnya, Saudi Airlines dipilih berdasarkan keupayaan syarikat penerbangan itu yang menawarkan penerbangan terus, kapasiti bagasi yang mencukupi dan perkhidmatan yang mesra jemaah.
Mengulas cabaran semasa industri umrah, katanya, peningkatan kos operasi akibat kenaikan harga bahan api dan faktor geopolitik global memberi kesan kepada industri penerbangan antarabangsa.
Bagaimanapun, katanya, perancangan awal termasuk pengesahan tempat duduk penerbangan dan tempahan penginapan lebih awal membolehkan syarikat mengawal kos serta memastikan harga pakej kekal kompetitif kepada jemaah.
Sementara itu, Ketua Bahagian Jualan Saudi Airlines, Noor Hidaya Abdullah berkata, pihaknya telah bersama dengan Andalusia sejak syarikat itu ditubuhkan kira-kira 20 tahun lalu dan kerjasama itu diteruskan tahun ini. – UTUSAN










