SEPANG: Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) akan memastikan keselesaan jemaahnya di Tanah Suci diutamakan dan setiap aduan diterima akan diselesaikan segera oleh petugas.
Pengarah Eksekutif Andalusia, Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, setiap petugas telah dilatih secara profesional bagi menawarkan perkhidmatan berkualiti kepada jemaah sepanjang berada di Tanah Suci.
Beliau berkata, pihaknya telah menyediakan kursus intensif kepada setiap petugas sebagai persediaan untuk memantu jemaah.
“Setakat ini, semua jemaah memberi pujian yang baik (kepada perkhidmatan Andalusia). Kita minta mereka pastikan supaya tiada rungutan dan sehingga ini tiada aduan serius daripada jemaah.
“Sebelum ini, kita ada satu aduan dibuat jemaah di mana bilik suami dan isteri di aras berbeza, namun dalam tempoh beberapa jam saja ia berjaya diselesaikan,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Md. Daud menghantar seramai 124 jemaah Andalusia kumpulan terakhir sewa khas Tabung Haji untuk berlepas ke Tanah Suci menerusi penerbangan Saudia Airlines pada pukul 5.30 petang ini.
Kesemua mereka akan berlepas ke Mekah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan jemaah Andalusia pada tahun ini kira-kira 500 orang.
Dalam perkembangan sama, Md. Daud berkata, Andalusia turut menyediakan kira-kira 39 barangan kelengkapan termasuk bagasi, buku panduan dan ubat-ubatan kepada setiap jemaah bagi memastikan keselesaan mereka.
“Ini kemudahan kita tawarkan kepada jemaah supaya mereka tidak perlu cari lagi kelengkapan dan harganya juga melebihi RM200,” ujarnya.
Pada masa sama, Md. Daud berkata, Andalusia turut menghantar kira-kira 50 jemaah mujamalah pada tahun ini dengan penerbangan ke Tanah Suci akan dibuat secara berperingkat. – UTUSAN










