Kaunseling kembalikan keyakinan diri jemaah

Kaunseling kembalikan keyakinan diri jemaah

KAUNSELOR berdaftar menyantuni jemaah haji di Hotel Al-Tayseer, Mekah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Sikap skeptikal terhadap kaunseling perlu dihentikan ekoran pendekatan itu terbukti menjadi ‘talian hayat’ kepada jemaah haji yang hilang fokus sehingga menjejaskan ibadah di Tanah Suci.

Pengurus Unit Kaunseling Operasi Haji, Azlina Abdul Hamid berkata, terdapat jemaah yang berdepan konflik dalaman sehingga menjauhkan diri daripada ibadah walaupun berada di Mekah.

“Ada yang datang untuk haji, tetapi rasa malas ke masjid, malas buat umrah. Ini bukan sebab tidak mahu, tetapi emosi mereka belum stabil.

AZLINA ABDUL HAMID

“Bila emosi ini dibangkitkan semula dan difokuskan kepada tujuan sebenar mereka datang, iaitu untuk mendapatkan haji mabrur, mereka akan kembali terdorong untuk beribadat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Azlina, situasi itu me­merlukan pendekatan soko­ngan emosi yang berterusan bagi mengembalikan keyakinan diri jemaah.

Katanya, pendekatan kaunseling berunsur psikologi dan Islamik menjadi antara kaedah penting dalam membantu jemaah haji mengurus emosi, sekali gus memastikan mereka mampu memberi tumpuan sepenuhnya kepada ibadat di Tanah Suci.

“Kadang-kadang jemaah ini sebenarnya sihat, tetapi kerana terlalu memikirkan dirinya sakit, akhirnya dia benar-benar rasa tidak mampu untuk bergerak atau beribadat.

“Bila kita beri kata-kata semangat, ada yang mula berubah. Malah, dalam beberapa kes, pasangan sendiri sudah penat memujuk, tetapi apabila orang ketiga seperti kaunselor masuk, jemaah lebih terbuka untuk menerima,” jelasnya.

Beliau berkata, antara cabaran utama ialah menangani stigma dalam diri jemaah yang merasakan diri mereka penuh dosa dan ibadah tidak akan diterima.

“Ada yang berkata, ‘buatlah macam mana pun, belum tentu Allah terima’. Perasaan putus harapan ini sangat besar dan perlu ditangani dengan berhati-hati.

“Di sinilah peranan kaunselor iaitu mendengar dan memahami sebelum membimbing mereka kembali kepada kekuatan dalaman dan agama,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa keseimbangan antara pendekatan psikologi dan agama amat penting dalam membantu jemaah kembali kepada fitrah.

“Ada ketika seseorang itu tidak mampu berdoa atau bersolat kerana tiada rasa. Jadi kita bantu bangkitkan semula emosi dan kesedaran diri.

“Apabila dia mula berfikir secara waras ‘aku datang sini untuk apa’ maka perubahan itu akan berlaku secara semula jadi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN