Tidak perlu angkut bagasi ke lapangan terbang

Tidak perlu angkut bagasi ke lapangan terbang

PETUGAS haji membantu menguruskan proses daftar masuk bandar (CCI) disediakan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) di hotel penginapan jemaah di Mekah baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Jemaah haji Malaysia yang ingin pulang ke tanah air tidak perlu beratur panjang di lapangan terbang melalui penggunaan perkhidmatan daftar masuk bandar (CCI) disediakan oleh Lembaga Tabung Haji (TH).

Jemaah haji, Rosnita Zazid Suin, 49, dari Jelebu menyifatkan, perkhidmatan CCI sebagai sangat membantu dan memudahkan urusan kepulangan jemaah ke tanah air.

“Daripada awal lagi mereka sudah memberikan maklumat dalam kumpulan WhatsApp. Ja­di kami lebih bersedia untuk meletakkan beg di luar lebih awal sebelum petugas datang mengambilnya.

“Apabila petugas sampai, semuanya nampak teratur dan berjalan lancar,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, proses berkenaan amat memudahkan terutama bagi jemaah warga emas yang tidak lagi perlu menguruskan bagasi besar ketika bergerak ke lapangan terbang.

“Memang sangat memudahkan jemaah, lebih-lebih lagi bagi jemaah berusia kerana tidak perlu mengangkat atau membawa beg besar sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Operasi Pengendalian Jemaah Haji, Mohd Ridzuan Yusoff berkata, CCI membolehkan jemaah melakukan proses daf­tar masuk bagasi kira-kira 48 jam sebelum berlepas ke lapangan terbang di hotel penginapan.

Menurut beliau, inisiatif hasil kerjasama TH dan syarikat pe­nerbangan sejak 2013 itu bertujuan mengurangkan beban jemaah membawa bagasi ketika menaiki bas dan menjalani urusan daftar masuk di lapangan terbang.

“Melalui proses CCI ini, jemaah tidak perlu membawa beg bagasi ketika bergerak ke lapangan terbang kerana urusan daf­tar masuk sudah dilakukan lebih awal,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan jemaah supaya me­rujuk poster barangan larangan yang disediakan TH bagi mengelakkan sebarang masalah ketika proses saringan bagasi terutama air zamzam di dalam bagasi daftar masuk.

“Sekiranya bagasi melebihi had ditetapkan, jemaah perlu mengeluarkan lebihan tersebut dan menggunakan perkhidmatan pos yang disediakan di bangunan penginapan jemaah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN