Pas rugi ‘main dua kolam’ - Utusan Malaysia

Pas rugi ‘main dua kolam’

SAARANI MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

WALAUPUN belum ada tanda-tanda Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan diadakan dalam masa terdekat, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, DATUK SAARANI MOHAMAD, 60, sudah siap mencongak kerusi yang akan ditandingi.

Setakat ini, katanya, UMNO sah bertanding di semua 27 kerusi dan Pas di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada PRU-14. Jika dapat mempertahankan semua 30 kerusi itu, Muafakat Nasional (MN) sudah boleh membentuk kerajaan dengan majoriti mudah di Perak yang mempunyai 59 kerusi.

“Pas kena jelas tentang pendirian dikatakan berada di ‘dua kolam’ ataupun akan kehilangan, dengan UMNO pun dia tak dapat, dengan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) pun tak dapat,” Saarani meluahkan kebimbangan Pas menjadi penyebab MN gagal menawan Perak kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL, ZABRY MOHAMAD MADZLAN dan NIZAM YATIM serta jurugambar SHIDDIEQIIN ZON di sebuah hotel di Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Dalam temu bual hampir dua jam, sehari selepas Saarani genap dua bulan menjadi Menteri Besar Perak itu, beliau mengingatkan Bersatu supaya tidak menubuhkan cawangan dan ‘mencuri’ ahli UMNO dan Pas.

FORMULA AGIHAN KERUSI

UTUSAN: Bagaimana formula agihan kerusi antara UMNO dan Pas?
SAARANI: Di awal penubuhan MN, UMNO dengan Pas telah bersetuju untuk PRU-15, di mana UMNO bertanding, Pas tidak akan bertanding. Maka penyokong Pas akan mengundi calon UMNO. Begitu juga sebaliknya.

Jadi untuk PRU-15, yang pasti di mana UMNO pernah bertanding dan menang maka kita akan kekal bertanding di situ. Ini pendirian Majlis Tertinggi (MT) UMNO, saya berpegang di situ. Setiap kali mesyuarat Biro Politik parti diikuti MT, kita kekal dengan pendirian UMNO akan bertanding semula di mana-mana kerusi Parlimen atau DUN yang telah dimenangi pada PRU-14.

Walaupun belum ada keputusan muktamad, maka formula itu diguna pakai. Contohnya di Perak, UMNO menang 27 kerusi DUN dan Pas menang tiga. Jadi untuk PRU-15, jika kita kekal dengan MN, UMNO tidak akan bertanding di Selama dan Kubu Gajah. Walaupun dahulu itu adalah kerusi UMNO, kita tidak akan bertanding di situ kerana persefahaman kita di mana Pas menang, parti itu akan bertanding di situ.

Pada PRU-15, Pas tetap akan bertanding di tiga kerusi di Gunong Semanggol, Selama dan Kubu Gajah. Sebab di situ Pas menang, UMNO tak akan kacau. Pada waktu sama, UMNO akan kekal bertanding di 27 kerusi, yang kami menang, termasuk yang dikhianati oleh dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Pas tak akan bertanding di situ.

Bagaimana kedudukan kerusi yang UMNO dan Pas kalah?
Sebanyak 27 kerusi DUN yang UMNO bertanding, dicampur tiga yang Pas bertanding, jumlahnya 30 kerusi. Bilangan ini cukup untuk membentuk kerajaan MN (majoriti mudah), tetapi tidak kuat.

Oleh kerana tak kuat, kita sebenarnya ada lagi 10 kerusi yang UMNO kalah, Pas pun kalah.

Ia kerusi yang boleh ditandingi dan dimenangi oleh calon-calon Melayu, kita tolak ke tepi 18 kerusi yang dimenangi DAP. DUN Perak ada 59 kerusi, ditolak kerusi yang dimenangi PKR daripada calon bukan Melayu. Maka sebenarnya ada 10 lagi sekurang-kurangnya kerusi yang boleh dimenangi oleh UMNO atau Pas.

Kita ada Titi Serong, Kuala Kurau, Kamunting, Sungai Rapat, Behrang, Hulu Kinta, Manjoi, Pasir Panjang dan Chenderiang. Ini kerusi Melayu yang boleh kita bincang sama ada Pas ataupun UMNO hendak bertanding.

Tetapi ada satu ketetapan telah dibuat oleh Jawatankuasa Perunding UMNO-Pas yang disebut berulang kali oleh Presiden UMNO (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) dalam mesyuarat MT dan Biro Politik. Lihat siapa yang mendapat undi terbanyak di antara UMNO dengan Pas. Jadi kalau di Parlimen Parit Buntar dahulu, UMNO kalah, Pas kalah. Siapakah antara UMNO dengan Pas yang mendapat undi terbanyak? Kalau UMNO, maka UMNO patut bertanding di situ.

Bagaimana pula agihan kerusi MN di peringkat Persekutuan?
Pada PRU-14 dan sebelumnya, UMNO bertanding tidak kurang daripada 120 kerusi Parlimen dan Barisan Nasional (BN) hanya menang 78 kerusi, tidak cukup syarat untuk menjadi kerajaan.
UMNO sahaja menang pada waktu itu kalau saya tak salah, 54 kerusi. Setelah lari 13 ahli Parlimen, maka kita jadi kurang. Jadi ikut semangat tadi, UMNO akan bertanding di tempat parti itu menang, 54 kerusi pasti kena bertanding.

Ada lagi baki. Kerana Pas dulu menang 18 kerusi, maka parti itu akan bertanding jumlah itu juga. Jadi kerusi lain yang UMNO dengan Pas boleh berkongsi, hendaklah dirunding. Maknanya, UMNO dan Pas kena bersetuju untuk sejumlah kerusi yang Pas bertanding dan UMNO bertanding, di mana kita boleh menang dengan sokongan kedua-dua parti.

Pada saya, bilangan yang perlu dimenangi oleh kedua-dua parti mestilah tidak kurang daripada 120 kerusi. Jumlah itu adalah untuk menubuhkan kerajaan yang selesa. Macam sekarang 112 atau 114 kerusi, sangat rapuh.

Bila UMNO dan Pas boleh menang atas perkongsian 120 kerusi, waktu itu parti lain akan datang dengan kita, dari Sarawak, Sabah, parti orang bukan Melayu pun akan datang bersama kita. Sebab ada dua parti yang cukup kuat untuk menubuhkan kerajaan.

Itu formulanya, saya tak boleh sebut berapa jumlah, sebab ini atas persetujuan Jawatankuasa Perunding UMNO-Pas. Saya tidak pasti berapa jumlah ditetapkan, tetapi kepada saya kedua-dua parti jika bertanding mesti menang tidak kurang daripada 120 kerusi.

MELAYU MASIH PERCAYA UMNO

Datuk yakin UMNO masih dalam hati orang Melayu?
Saya yakin orang Melayu masih percaya bahawa UMNO adalah wadah perjuangan bagi kepentingan kebajikan mereka. Saya cukup yakin itu, tak ada perubahan.

Ini kerana tiada tindakan meninggalkan parti secara beramai-ramai. Kita ada tiga juta lagi ahli. Tidak ada cawangan yang dibubarkan dan semakin ramai ahli baharu yang mendaftar.

Tiap-tiap bulan kita menerima laporan permintaan untuk menjadi ahli baharu termasuk dalam kalangan orang muda. Kepada saya, tak ada masalah itu kecuali orang bertujuan buat fitnah dan sebagainya untuk provokasi.

PAS KECEWA

Pas sejak kebelakangan ini berubah dan cenderung ke arah gabungan Perikatan Nasional (PN), seolah-olah mahu UMNO turut serta. Datuk menyedari perkara itu?
Menyedari. Saya agak lama dalam politik dan saya bersama-sama dengan Pas masa kita mengerakkan aktiviti untuk menyemarakkan semangat MN itu, saya amat menyedari perubahan-perubahan yang berlaku.

Tetapi kepada saya, itu biasa sebab kita manusia, okey. Pas manusia biasa. Cuma saya ingatkan kepada sahabat-sahabat saya dalam Pas negeri dan Pas Pusat. Apabila Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, tiba-tiba Pas sedikit kecil hati dan kecewa dengan UMNO kerana katanya UMNO tidak memberi tempat kepada calon Pas di Sabah.

Saya beritahu, itu satu tanggapan yang salah sebab di Sabah tidak ada MN. Di Sabah yang ada PN. Jadi, tidak ada MN antara Pas Sabah dengan UMNO Sabah.

Yang ada ialah PN antara Pas dengan Bersatu. Jadi, pada waktu itu saya kata Pas kena tuntut kerusi daripada Bersatu sebab wujud PN di Sabah. Parti itu tidak boleh minta daripada UMNO sebab tidak ada kerusi itu. Saya kata kepada rakan daripada Pas, itu kalau tidak diatur dengan betul-betul, takut-takut berulang benda yang sama di Semenanjung.

Contohnya, sudah ada perjanjian antara Pas Perak dengan UMNO Perak. Katalah saya bagi 10 kerusi kepada Pas, katakan, bukan angka betul. Jadi, UMNO akan bertanding 30 kerusi. Bila Pas dengan Bersatu hendak bersama atas nama PN, maka 10 kerusi itulah kena agih antara Pas dengan Bersatu, jangan usik kerusi UMNO.

Pas kena jelas tentang pendirian dikatakan berada di dua kolam ataupun akan kehilangan. Dengan UMNO pun dia tak dapat, dengan Bersatu pun tak dapat. Saya takut jadi seperti mana berlaku di Sabah.

Saya nasihatkan kepada rakan saya daripada Pas, kena jelas perkara itu. Sebab sudah tetap dalam piagam dan juga dalam MT pun hanya disebut perkataan MN, UMNO dan juga Pas. Jadi, pembahagian kerusi di Perak ini kita hanya berbincang berkaitan agihan kerusi di antara UMNO dengan Pas.

Bagaimana dengan PN di Perak?
Dalam pelantikan yang saya baca dalam surat khabar, Pengerusi Perhubungan PN Perak, Datuk Seri Peja (Ahmad Faizal Azumu) dan timbalannya ialah Razman Zakaria (Pesuruhjaya Pas Perak).
Jadi, UMNO dan saya tidak terlibat di situ. Yang ada hanya Bersatu dengan Pas. Jadi, kena agih (kerusi) sesama merekalah.

BAIK BERSATU LAWAN DAP

Di manakah Bersatu hendak bertanding?
Kalau betul di Perak ini, Bersatu ingin bersama-sama dengan Pas dan UMNO, maka parti itu boleh bertanding DUN Chenderiang sahajalah, sebab itu tempat yang dia menang. UMNO tidak akan letak calon di situ, tetapi satu sahajalah.

Kalau Bersatu ingin bersama-sama dengan Pas dan UMNO, pergilah (bertanding) ke tempat PKR, tempat Amanah. Lebih cantik, kalau dia rasa kuat, pergi bertanding tempat DAP.

Kalau Bersatu boleh menang kerusi di tempat DAP, kita ‘tabik spring’ sebab berani berlawan di tempat DAP dan menang. Bermakna parti itu telah menambah bilangan kerusi orang Melayu, baru betul. Ataupun bertanding di Beruas berhadapan dengan DAP, baru jadi hero.

Apa nasihat kepada Bersatu?
Kalau Bersatu jujur dan ikhlas, janganlah buka cawangan dan mengambil ahli UMNO menjadi ahli dia. Itu tidak betul. Sebab dia tidak menambah kekuatan. Dia tubuh sebuah cawangan di mana UMNO dan Pas sudah ada. Kemudian, dia ‘curi’ ahli UMNO hatta orang Pas pun dia ‘curi’ masuk untuk jadi ahli dia. Jadi, apa kekuatan yang dia ada?

Ada dibuat di Larut, tempat Setiausaha Agung Bersatu (Datuk Seri Hamzah Zainuddin). Parti itu menubuhkan cawangan dan kemudian dia menawarkan keahlian kepada ahli-ahli UMNO, untuk jadi ahli Bersatu. Jadi apa kekuatan yang dia ada? Ia satu perbuatan tidak sihat. Di situ sahaja sudah menggambarkan ketidakikhlasan Bersatu dalam penyatuan ummah ini.

Di Larut, UMNO akan bertanding kawasan Parlimen di situ, sebab itu kawasan kita. Itu semangat yang kita ada. Jadi, kalau Bersatu nak menyertai kita, parti itu tidak boleh kacau dan bertanding di Larut.

Cantiknya kalau dia kuat, dia hebat, dia tubuhlah (cawangan) Bersatu di Ipoh Barat. Ataupun tubuh Bersatu di Ipoh Timur atau Beruas.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×