PH-BN kekal di Negeri Sembilan?

PH-BN kekal di Negeri Sembilan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Berbanding lima negeri lain, gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan lebih kukuh bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN).

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018, kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini dimenangi oleh kedua-dua parti itu dengan PH memenangi 20 kerusi lantas membentuk kerajaan negeri selepas pilihan raya itu.

Daripada 20 buah kerusi itu, DAP membentuk jumlah yang terbesar iaitu sebanyak 11 kerusi diikuti enam buah kerusi milik PKR manakala Parti Amanah Negara (Amanah) menang tiga lagi kerusi.

BN pula memenangi baki 16 buah kerusi lain dengan 15 buah kerusi dimenangi calon dari UMNO manakala satu kerusi lagi milik calon dari MIC.

Jika dilihat situasi berkenaan ditambah kerjasama dalam semangat Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk di antara PH dan BN ketika ini, sudah pasti tidak salah untuk membuat jangkaan kedua-dua gabungan parti itu mampu memenangi PRN di negeri ini.

Ia kemudian ditambah dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu yang menyaksikan kesemua lapan kerusi Parlimen di negeri ini menjadi milik PH dan BN. Lima kerusi dimenangi oleh BN manakala tiga lagi oleh PH.

Berdasarkan kedua-dua faktor berkenaan, ada yang berpandangan, PH-BN bukan hanya boleh sekadar menang di Negeri Sembilan malah boleh membentuk sebuah kerajaan negeri tanpa ada wakil pembangkang untuk merebut walau satu kerusi.

Mengambil kira status quo, PH dan BN akan memasuki PRN kelak bagi mempertahankan setiap kerusi DUN yang telah dimenangi mereka pada PRU14 lalu.

Bagaimanapun di pihak pencabar mereka iaitu Perikatan Nasional (PN), kejutan boleh dilakukan mereka sekurang-kurangnya memenangi 19 buah kerusi iaitu majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.

Sehubungan itu, menurut Setiausaha PN Negeri Sembilan, Mohd. Nazree Mohd. Yunus kepada Utusan Malaysia, parti berkenaan telah mengenal pasti kerusi-kerusi yang akan diberikan lebih tumpuan termasuk tiga kerusi DUN yang mana PN dikatakan mendapat undi terbanyak pada PRU15.

Tiga buah kerusi DUN tersebut adalah Lenggeng di Parlimen Seremban, DUN Labu di Parlimen Rasah dan DUN Bagan Pinang di Parlimen Port Dickson.

“Sudah pasti PN berikan tumpuan kepada kawasan-kawasan yang telah kami kenal pasti, kawasan tumpuan itu mestilah melebihi 19 buah kerusi DUN supaya kami dapat membentuk kerajaan negeri, saya lihat keputusan pada PRU15 yang lalu merupakan pemangkinnya,” katanya lagi.

Menjelang PRN dengan tarikh pembubaran DUN Negeri Sembilan yang dijangka pada 30 Jun ini, masih sukar untuk melihat sentimen dan arah sokongan pengundi-pengundi di negeri ini.

Banyak faktor yang boleh menyebabkan keputusan pada pilihan raya yang lepas tidak akan sama coraknya untuk PRN kali ini.

Ia termasuklah daripada segi faktor satu lawan satu yang akan berlaku selain kebimbangan peratusan keluar mengundi yang rendah. – UTUSAN

 

JUMLAH KERUSI : 36

JANGKAAN KERUSI DIMENANGI

PAKATAN HARAPAN : 18

BARISAN NASIONAL : 15

SENGIT : 3

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×