TAMPIN: Binatang buas yang disangka harimau belang yang muncul di kawasan Kampung Sri Repah di sini sejak seminggu lalu yang turut menyerang ternakan penduduk rupa-rupanya adalah harimau kumbang.
Penternak kambing, Idris Isa, 57, berkata, dia kini lega apabila harimau kumbang yang membaham dua ekor kambing biri-biri miliknya kelmarin sudah pun ditangkap selepas masuk ke dalam jerat yang dipasang pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan.
Menurutnya, pihak Perhilitan telah memasang jerat tersebut semalam dan dia telah meletakkan umpan iaitu seekor anak kambing miliknya di dalam jerat tersebut pada pukul 6.30 petang.
“Saya tidak tahu bila harimau ni masuk jerat. Saya mahu melepaskan anak kambing ini semula pagi tadi namun terkejut apabila sebaik menghampiri jerat dan terdengar bunyi ngauman harimau.
“Saya terus menghubungi pihak Perhilitan untuk memaklumkan perkara ini. Anak kambing di dalam jerat ini sudah mula bising sejak malam tadi dan mungkin harimau kumbang tersebut masuk ke dalamnya pada waktu itu,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Sri Repah, di sini hari ini.
Idris berkata, sebaik sahaja dia mendengar bunyi ngauman harimau itu dia kemudian berpatah balik dan tidak berani untuk mendekati jerat itu semula yang terletak sekitar 100 meter dari rumahnya.
“Saya hanya dapat lihat dalam keadaan samar-sama sekitar pukul 7 pagi yang harimau itu berwarna hitam,” katanya lagi.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kebimbangan penduduk Kampung Sri Repah di sini berkenaan kehadiran harimau belang selepas ada yang mendakwa ternampak binatang buas itu.
Menambah kebimbangan, berlaku kejadian ternakan kambing biri-biri milik Idris yang mati di dalam kandang dengan kesan gigitan di leher ternakan itu.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Razali Ibrahim, 64, berkata. dia percaya dengan kehadiran harimau di kawasan berkenaan termasuk kewujudan harimau belang.
Dia yang merupakan seorang pesara tentera memberitahu, pada sekitar tahun 1980-an, harimau belang itu dikatakan dilihat di sekitar kawasan hutan di Gemas serta Kuala Pilah.
“Ikut cerita orang tua-tua dahulu, harimau belang ni suka makan hasil buah-buahan. Kalau musim durian, harimau akan makan durian dan meninggalkan biji durian dalam keadaan bersih. Kalau sekarang saya tidak pasti cuma sekitar tahun itu memang ada harimau belang di negeri ini,” katanya.
Sementara itu, kakitangan Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan dilihat mengangkat jerat berkenaan kira-kira pukul 11.13 pagi dan membawa harimau kumbang itu bagi rawatan dan tindakan selanjutnya.-UTUSAN.










