PETALING JAYA: Penyedia penyelesaian paip menyeluruh, ISF Group Berhad (ISF Group) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Yeo Plumber Sdn. Bhd. (YPSB) meraih kontrak terbesar dalam sejarah syarikat bernilai RM83.2 juta bagi projek pusat data skala besar di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Penganugerahan berkenaan merangkumi empat kontrak berasingan yang diberikan oleh sebuah kumpulan pembinaan dan kejuruteraan awam terkemuka di Malaysia.
Pengarah Urusan ISF Group, Jeff Ai Boon Chen berkata, pencapaian berkenaan menandakan penanda aras penting buat syarikat dalam memperluas keupayaan mengendalikan projek berskala lebih besar dan kompleks.
“Pada nilai RM83.2 juta, ini merupakan kontrak terbesar yang pernah kami peroleh. Ia mencerminkan keyakinan pasaran terhadap keupayaan kami untuk melaksanakan projek-projek yang lebih mencabar.
“Pencapaian ini juga membuktikan kesediaan ISF Group untuk bersaing dalam mendapatkan penawaran projek berskala lebih tinggi pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, tiga daripada kontrak berkenaan yang bernilai kira-kira RM73.3 juta melibatkan perkhidmatan sistem air sejuk, tuangan air hujan, retikulasi air dan sanitari bagi pembangunan pusat data tersebut.
Kontrak keempat bernilai kira-kira RM9.9 juta meliputi kerja-kerja infrastruktur pembetungan luaran, dengan keseluruhan projek dijadualkan siap secara bertingkat antara November 2026 hingga Julai 2028.
Suntikan empat kontrak baharu itu sekali gus meningkatkan nilai perolehan pingat ISF Group kepada RM225.5 juta, yang memberikan kejelasan pendapatan kumpulan sehingga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2029.
Tambahnya, kemunculan Malaysia sebagai hab pusat data serantau terus membuka peluang besar bagi kerja-kerja infrastruktur sokongan.
“Dengan pusat data kini menyumbang porsi signifikan kepada perniagaan kami, ISF Group berada pada kedudukan strategik untuk merebut lebih banyak peluang dalam pasaran yang sedang berkembang ini.
“Pada masa sama, kami turut meneroka peluang peringkat awal untuk berkembang ke dalam projek infrastruktur air berskala lebih besar di Malaysia, khususnya loji rawatan air (WTP) dan inisiatif pengurangan air tidak berbayar (NRW),” katanya. – UTUSAN











