KUALA LUMPUR: Penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) adalah pilihan terbaik untuk menggembalikan semula Malaysia ke jalan sederhana dan boleh diterima rakyat.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dengan UMNO yang kini bersama membentuk kerajaan akan memberikan peranan yang unik dan strategik bagi membawa Malaysia ke landasan yang betul.
Menurut beliau, UMNO juga memilih kerajaan perpaduan kerana mahu parti terus mewakili kepentingan Melayu terbesar berbanding memilih Perikatan Nasional (PN) yang menjadi pembangkang.
“Ini sesuatu yang tidak dapat UMNO lakukan jika menyertai kerajaan pimpinan PN kerana UMNO berada dalam kedudukan ketiga, sebagai kuasa politik Melayu dalam perikatan itu.
“Lalu, bagaimana semua ini, akan menguntungkan UMNO, dalam jangka masa panjang?,” kata beliau dalam ucapan Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur malam tadi.
Menurut beliau, misi parti untuk membawa keluar Malaysia daripada drama politik pasca Pilihan Raya Umum (PRU) dan berpendirian tidak boleh dibiarkan berlarutan sehingga menjejaskan kehidupan rakyat yang dilanda pelbagai isu mencengkam mereka setiap hari turut menjadi faktor UMNO memilih menyertai Kerajaan Perpaduan.
PEMBANGKANG
Selain itu, kata beliau, faktor ketiga kerana UMNO sangat menyedari bahawa menjadi pembangkang bukanlah perkara mudah dengan pengalaman terbatas dan mungkin parti akan terus melemah jika berada di luar kerajaan.
“Dengan kewujudan PN yang berhasrat menguburkan UMNO daripada sokongan orang Melayu, kita akan memerlukan jalan dan pengalaman kerajaan untuk terus memperkukuhkan, sokongan untuk parti.
Malah ia memberi kita kemudahan untuk terus memenuhi keperluan penyokong kita dan masyarakat Melayu di seluruh negara.
“Faktor keempat, kenapa kita menyertai Kerajaan Perpaduan adalah kerana kita mempunyai pengalaman bekerja dengan PN dalam kerajaan sebelum ini. Kita mendapati adalah sangat sukar bekerjasama dengan parti yang kewujudan dan perjuangannya ialah menghapuskan UMNO untuk selama-lamanya.
“Saya faham bahawa ramai yang mempersoalkan mengapa kita memilih untuk bekerjasama dengan PH. Pokoknya UMNO tidak menyertai PH ataupun membelakangkan PN. Kita memilih, mengutamakan Malaysia.
“UMNO hanya menyertai kerajaan perpaduan yang diusulkan oleh Yang di-Pertuan Agong. Jadi tiada isu, dalam kerjasama UMNO, dengan DAP dan PKR, atau Amanah,” katanya.
POLITIK
Menyentuh lanjut kerjasama dengan DAP, Mohamad menjelaskan, pendirian politik mestilah diasaskan kepada realiti politik di sebalik prinsip parti itu sebelum ini dan mesti disesuaikan dengan keperluan dan kedinamikan semasa.
Menurutnya, UMNO tidak perlu berpura-pura dan bermuka-muka dengan DAP kerana sudah mengenali pendirian malah parti itu selama ini.
“Tetapi jika kita dengan PN, kita hanyalah pemain ketiga yang berkongsi kepentingan demografi yang sama. Ini akan menyukarkan UMNO mengurus segala perbezaan, di masa akan datang. Yang pasti, pilihan kita untuk bekerjasama dengan PH telah menjadikan UMNO parti yang akan mewakili kepentingan Melayu terbesar dalam kerajaan.
“Ini adalah sesuatu yang tidak akan dapat UMNO lakukan jika menyertai kerajaan pimpinan PN. Kerana UMNO, berada dalam kedudukan ketiga, sebagai kuasa politik Melayu, dalam perikatan sedemikian.
Lalu, bagaimana semua ini, akan menguntungkan UMNO, dalam jangka masa panjang?,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata, sokongan Melayu kepada UMNO bukan sahaja tidak meningkat malah merosot walaupun berpuluh-puluh tahun bertentangan dengan DAP.
“Kerana faktor yang mendorong orang Melayu menyokong atau menolak kita, ternyata bukanlah pendirian kita terhadap DAP,” katanya.
SOKONGAN
Sebaliknya jelas beliau, sokongan itu bergantung kepada kemampuan UMNO untuk meyakinkan orang Melayu bahawa kepentingan bangsa dapat diperjuangkan dengan lebih baik dengan parti termasuklah kerajaan dipimpin itu bebas rasuah dan tiada penyalahgunaaan kuasa.
“Yang menjadi kayu ukur sokongan Melayu ialah integriti, tadbir urus, kompetensi dan prestasi kita. Bukan kerana semata-mata kita menentang ideologi parti itu dan parti ini.
“Maka UMNO mesti meneroka potensi politik yang bersesuaian dengan keadaan semasa. Jadi, kita mesti meneroka strategi lautan biru, jika kita ingin berkelangsungan. Kehilangan undi Melayu dan tiadanya undi bukan Melayu, adalah resipi kematian UMNO,” kata beliau.
Mohamad kemudian menegaskan UMNO kini mesti melupakan nafsunya untuk berkuasa dengan sebesar-besar kekuasaan namun harus membangunkan semula keyakinan orang Melayu supaya menjadi wadah gerakan politik amal dan bakti untuk bangsa tersebut.- UTUSAN








