PUTRAJAYA: Digital Nasional Berhad (DNB) diarahkan membuat audit terlebih dahulu bagi mengesahkan perangkaan dan status pencapaian liputan pembangunan infrastruktur generasi kelima (5G) di negara ini yang dikendalikan syarikat berkenaan sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ketika mengeluarkan arahan berkenaan turut mengarahkan syarikat berkenaan untuk turut mengemukakan maklumat-maklumat berkaitan yang terkini untuk proses pengesahan tahap pelaksanaan mereka.
“Ia memandangkan pelaksanaan 5G yang dijalankan DNB adalah di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
“Pihak SKMM sebelum ini pernah menjalankan pengesahan bersama pihak DNB tentang kaedah pengiraan liputan kawasan berpenduduk.
“Adalah amat penting untuk DNB memberi penjelasan berkenaan maklumat dan laporan yang dikeluarkan sebelum ini mengenai liputan 5G di negara ini sudah mencapai 50 peratus,” katanya di sini semalam.
Dalam maklum balas kepada Utusan Malaysia, Jabatan Komunikasi Korporat SKMM memberitahu, arahan itu adalah selari dengan kenyataan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang menggesa DNB menjelaskan dakwaannya bahawa rangkaian itu kini meliputi 50 peratus kawasan berpenduduk.
Fahmi memaklumkan, pihaknya belum mengesahkan maklumat yang mendakwa bahawa rangkaian internet itu kini meliputi separuh daripada kawasan berpenduduk akhir tahun lalu.
Susulan itu, beliau meminta agar DNB tidak harus menerbitkan angka sebelum membuat pengesahan.
Fahmi mengulas ciapan penganalisis politik, Prof. Dr. James Chin yang memuat naik tangkap layar laporan melibatkan Ketua Pegawai Operasi DNB, Nasution Mohamed yang dilaporkan berkata, pelancaran rangkaian 5G di Malaysia mencapai hampir 50 peratus di kawasan berpenduduk pada akhir 2022.
Kata James, meskipun telah membeli data internet 4G, beliau tidak mendapat isyarat 4G di sebuah bandar di Kuching.
DNB dalam kenyataan baru-baru ini memaklumkan telah mencapai lebih 90 peratus liputan kawasan berpenduduk di seluruh Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.
Ini termasuk kira-kira 50 peratus di seluruh bandar dan pekan di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.
Katanya, negeri lain pula kini dalam pelbagai peringkat kemajuan dan sedang memberi tumpuan mencapai sasaran seterusnya meliputi 80 peratus kawasan berpenduduk pada akhir 2024 atau lebih awal.
DNB dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan. – UTUSAN










