SEREMBAN: Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki memuat naik hantaran berunsur penghinaan serta menyentuh sensitiviti istitusi diraja Negeri Sembilan di media sosial.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung hantaran itu pada pukul 10.31 pagi semalam.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati hantaran berkenaan dimuat naik pada 17 Julai lalu, manakala pengadu hanya menyedari kewujudannya kira-kira pukul 9 malam, 18 Julai sebelum membuat laporan polis.
“Susulan maklumat yang diterima dan hasil siasatan dijalankan, polis bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menahan seorang lelaki Melayu berusia 52 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban kira-kira pukul 1 tengah hari hari ini bagi membantu siasatan.
“Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah telefon bimbit milik suspek untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Alzafny berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Seremban esok bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – UTUSAN










