TANAH MERAH: Pemimpin parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu berani membuat pengisytiharan harta sebagai tanda ketelusan mereka kepada rakyat.
Calon Pakatan Harapan Parlimen Tanah Merah dari PKR, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md. Noor berkata, tindakan mengisytiharkan jumlah harta yang dimiliki itu membuktikan ketelusan sebagai orang politik.
“Saya bimbang jika menang PRU15, ada yang kata kekayaan dimiliki itu hasil rasuah. Jadi, lebih baik saya berterus terang dalam perkara ini.
“Tindakan ini amat baik, buat apa kita nak sorok. Bila nak jadi pemimpin, kita perlu berani isytiharkan berapa harta yang ada,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Supardi memberitahu, apa yang dilakukan itu selari dengan keputusan parti.
Katanya, pada masa sama ia merupakan satu perkembangan positif dalam perkembangan politik negara bagi memastikan pemimpin bersih daripada amalan rasuah.
“Untuk makluman, jumlah harta tersebut meliputi nilai hartanah yang terdapat di Papua New Guinea berkeluasan 1,000 hektar di mana saya menjadi pemegang saham sebanyak 20 peratus.
“Jika harta itu dijual sekarang, nilaiannya berjumlah RM500 juta. Saya masuk politik bukan nak kekayaan dalam politik kerana semuanya sudah cukup (harta) untuk menjalani kehidupan bersama keluarga selain membuat kebajikan terhadap penduduk kampung,” ujarnya.
Suparadi berkata, beliau tidak perlu menggunakan jawatan untuk terima rasuah dan memperkayakan dirinya.
Utusan Malaysia melaporkan, Mohamad Suparadi memiliki aset bersih berjumlah RM106.1 juta berdasarkan perisytiharan yang dibuat kepada parti itu. –UTUSAN










