Mahu pilih pemidato, pelawak atau pentadbir negara?

Mahu pilih pemidato, pelawak atau pentadbir negara?

Sudah jadi ‘tagline’... Poster besar dengan ayat ‘ayor bukan ayaq’ yang dipasang di sebuah premis di pekan Tambun, di Ipoh menjelang PRU15. – GAMBAR HIASAN /MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“ANAK-ANAK kita semua ini nanti hendak undi parti mana? Kena beri panduan pada mereka. Jangan main undi saja. Asal nampak handsome saja undi.”

Itu mesej seorang kawan pada awal pagi dalam grup WhatsApp alumni sekolah saya baru-baru ini. Sekarang ini grup WhatsApp mana-mana pun bersembang pasal politik termasuk grup surau dan grup mengaji. Naik rimas juga dibuatnya.

Ketika inilah juga kita boleh terkejut. Sebab yang diam-diam itu dan yang nampak baik itu, tiba-tiba saja boleh mencarut dan memaki. Aduhai.

Kata kawan saya itu, golongan anak muda ini mesti disedarkan tentang siapa yang banyak membantu mereka di universiti selama ini. Siapa yang banyak memberi mereka peluang dan pinjaman pendidikan.

Ibu bapa mereka dulu pun belajar dengan bantuan dan biasiswa yang diusahakan oleh parti mana? Dapat peluang pekerjaan dari siapa?

Maka, katanya, anak muda mesti disedarkan dengan maklumat sebegitu. Jangan ikut emosi, dan melihat kepada ahli politik yang hanya bermanis mulut, pandai bergaul dan ambil hati tetapi bila tiba bab memimpin negara, dia ke laut dalam.

Ahli-ahli politik sebegini hanya pandai ‘main Twitter’ saja. Bercakap besar dan menunjuk pandai di media sosial memang kerja mereka. Bila sudah diberi peluang urus negara, jadi kucar-kacir pula.

Saya bersetuju dengan hal itu tetapi sesiapa pun yang golongan muda ini mahu undi itu adalah pilihan mereka. Tidak semestinya mereka perlu mengikut ‘tradisi keluarga’ dalam memilih parti politik yang mereka percaya. Kalau ibu bapanya penyokong Pas, tidak semestinya mereka perlu dipaksa mengundi Pas, begitu juga kalau orang tua mereka pengundi tegar BN dan PH.

Biarlah mereka putuskan sendiri calon atau parti mana mereka hendak pangkah. Tak akan itu pun ibu bapa mahu tentukan. Kita boleh beri panduan tetapi pada masa sama perlu yakin kepada kebijaksanaan orang muda memilih. Macam mereka memilih pasangan untuk berkahwinlah. Biar mereka tentukan.

Janganlah hendak diremehkan dan diperkotak-katikkan kemampuan dan keupayaan mereka dalam berfikir dan untuk memilih. Ini adalah masa dan hak mereka.

Kalau kita hendak cakap bahawa mereka sepatutnya belajar daripada orang lama yang sudah beberapa kali mengundi, yang orang lama pun ramai saja yang tak pernah belajar daripada kesilapan mengundi calon. Sudah berapa kali mengundi pun masih tidak ‘matang’ dalam membuat pilihan.

Sebabnya, calon lima tahun sekali melawat kawasan itu jugalah dipilih setiap kali pilihan raya umum. Setakat tunjuk rajin kutip sampah semasa kempen pilihan raya dan beri kain batik atau pelikat seorang sehelai kepada penduduk, senang saja mereka dipengaruhi.

Sedangkan inilah calon kitar semula yang diberi ‘nyawa’ beberapa kali, tetapi tak memberi perkhidmatan apa-apa kepada rakyat. Tidak nampak bayang pun masa ada kematian, bencana alam, masa kesusahan atau apa-apa majlis pun, tetapi itulah dia pangkah juga pemimpin yang sebegitu.

Senang sangat mereka ini terkesima bila dengar ceramah politik. Hakikatnya, yang bijak bercakap atau berpidato tak semestinya bijak mentadbir negara.

Jadi tak perlulah kita beranggapan bahawa pengundi muda tidak matang dan akan merosakkan undi. Anak muda, kalau kita faham straightforward saja mereka ini. Mereka tak suka yang ‘serabut-serabut’. Mereka mahu yang bijak. Yang ada wibawa dan ada integriti. Jangan banyak ‘drama’.

Pastinya mereka akan mencari parti yang memperjuangkan nasib mereka. Senang mendapat peluang pekerjaan dan gaji setimpal dengan tahap pendidikan mereka. Tetapi itulah pula, bila manifesto nampak serba-serbi cantik, bila menang, manifesto bukan janji pula. Sudah tukar.

Negara ini baru memberi peluang kepada anak muda berusia 18 tahun ke atas untuk mengundi. Amerika Syarikat telah lama memberi hak mengundi kepada orang muda. Di beberapa negara lain ada yang membenarkan remaja berusia 16 tahun mengundi.

Menurut rekod yang dikemaskini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 9 Oktober lalu, bilangan pengundi muda yang berusia 18 hingga 29 tahun ialah 6,007,978 manakala yang berusia 30 hingga 39 tahun ialah seramai 4,681,348 juta orang.

Hakikatnya, kita tidak boleh menidakkan hak dan pilihan anak muda. Mereka perlu ada kesedaran tentang pentingnya politik yang membawa kepada kestabilan negara.

Mana parti yang boleh memberi kestabilan politik, ekonomi dan memakmurkan negara ini, itulah yang patut dipilih. Bukan setakat pandai bercakap dan mengambil hati.

Memang betul, pilihan raya umum pada kali ini diadakan dalam keadaan rakyat kebanyakan sudah meluat dengan pemimpin politik tak kiralah daripada parti mana.

Iyalah, kalau nak cerita pasal korup, seleweng dan melakukan jenayah, hampir semua parti politik yang ada di negara ini ada pemimpinnya terpalit dengan semua ini dan ada kluster mahkamah.

Inilah yang membuatkan rakyat seperti tiada pilihan atau sukar membuat pilihan dan isu-isu integriti ini juga mempengaruhi pengundi muda agar tidak memangkah parti terbabit.

Saya ada terbaca di Twitter, seorang anak muda dalam ciapannya menulis, macam mana politik negara ini mahu berubah kalau golongan tua tetap setia mengundi parti yang korup setiap kali pilihan raya?

Dia pusing-pusing di situlah dik! Parti mana pun yang berkuasa, pasti ada pemimpinnya yang menyeleweng. Tetapi yang lebih penting kepada rakyat ketika ini adalah mencari parti yang boleh memberi kestabilan pada negara. Yang mampu menangani isu ekonomi, kenaikan harga barang, peluang pekerjaan, masalah gaji rendah dan macam-macam lagi isu rakyat.

Jangan tak pasal-pasal bila mana-mana parti berjaya membentuk kerajaan, perkara pertama dilakukan adalah membuang pekerja atas sebab dendam atau melakukan penjimatan kerana tidak tahu mentadbir kewangan. Ini sudah pun berlaku sebelum ini.

Pengundi muda ada kuasa sekarang. Begitu juga pengundi lama. Sekarang adalah masa untuk menggunakan kuasa itu untuk memilih. Mahu pilih pemidato hebat, pelawak atau pentadbir negara? Ini adalah masa untuk menolak politikus yang tak berguna kepada rakyat. – MINGGUAN

PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×