Johar Bahar, muzik dan patriotisme

Johar Bahar, muzik dan patriotisme

JOHAR BAHAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMBALINYA pencipta lagu Allahyarham Johar Bahar ke pangkuan Ilahi, 17 tahun lalu menandakan berakhirnya satu era penting seniman muzik memainkan peranan dalam perjuangan kebangsaan. Selepas Johar, tidak ada lagi pencipta lagu patriotik era sebelum merdeka.

Era penting itu telah membuktikan muzik sebagai wahana perjuangan kebangsaan selain gerakan berbentuk politik dan kesusasteraan. Bukan itu sahaja, malah muzik memperlihatkan sisi yang tersendiri dalam mengingatkan anak bangsa pada negara.

Kita tentu beruntung memiliki seniman sehebat Johar. Karya-karyanya yang sangat menginspirasikan itu adalah hutang kita yang tidak terbayar dengan apa juga sekalipun. Setiap kali menghayati lagu Johar serta pencipta lain yang sezaman telah memberi rasa bahagia kerana menjadi anak pada ibu pertiwi ini.

Suatu waktu dahulu ketika masih kanak-kanak, setiap kali akhir Ogos adalah detik manis apabila guru beserta semua murid menyanyikan lagu Malaysia Tanah Airku ciptaan Johar. Saya dan kawan-kawan menyanyi dengan riang sekali di tepi sekolah berdinding papan di laman yang berkerikil.

Kenangan itu melekat pada ingatan hingga berpuluh tahun kemudian. Sudah tentu kenangan seperti itu turut dirasakan oleh generasi sezaman dengan saya. Kefahaman terhadap lagu itu pun teranjak mengikut pertambahan usia, kematangan dan kesedaran patriotisme.

Pusaka yang ditinggalkan itu sangat berharga dan menimbulkan rasa cinta dan sayang pada negara. Lagu-lagu Johar sangat memujuk dan secara halus menyemat pada ingatan.

Malaysia Tanah Airku mengingatkan tentang sebuah negara baharu yang aman makmur. Menghayati lirik lagu ini membuatkan kita sanggup berkorban apa sahaja demi melestarikan aman dan sejahtera. Ungkapan ‘Malaysia oh tanah air ku’ itu satu pengakuan sekali gus kebanggaan.

Johar yang lahir pada 25 Februari 1921 adalah nasionalis yang berjuang dengan kearifan mencipta lagu. Walaupun memilih irama perlahan seperti keroncong tetapi tetap membangkitkan semangat perjuangan. Dalam irama yang lembut, rasa patriotik tetap menyala.

Allahyarham adalah seniman yang sangat patriotik. Muzik yang berada di tangannya bukan sahaja memberi kesenangan pada jiwa, pada masa sama mengingatkan tentang negara. Lagu-lagunya indah dan syahdu, walaupun begitu peringatan yang disisipkan melekat teguh di jiwa.

Johar kembai ke pangkuan Ilahi pada 24 September 2005 mewariskan segugus karya lagu untuk kita. Lagunya terus segar dalam garis waktu yang begitu panjang dan merentas zaman. Selain Malaysia Tanah Airku, antara lagu ciptaannya yang lain adalah Selamat Tinggal Bungaku, Banjaran Titiwangsa, Pahlawanku dan Gunung Kinabalu.

Allahyarham sezaman dengan Pak Gesang dan Ismail Marzuki di Indonesia. Kedua-duanya memang diingati sebagai pencipta lagu roman perjuangan yang hebat. Di Indonesia juga lagu berirama perlahan terutama keroncong menyuburkan kasih sayang rakyat pada negara.

Bengawan Solo ciptaan Pak Gesang misalnya, secara halus membangkitkan kecintaan rakyat Indonesia pada negara. Irama dan lakaran geografi perihal keindahan Sungai Solo memperlihatkan cara berfikir dan berjuang seorang seniman.

ROMANTIS

Di negara kita, Johar berada dalam kelompok yang sama dengan Pak Gesang dan Ismail. Kesemua mereka menggunakan pengaruh muzik dan lagu untuk tujuan perjuangan. Walaupun tidak berjuang secara nyata, tetapi mengangkat rasa kecintaan pada tanah air juga menuju matlamat yang sama.

Memang tidak dinafikan karya Johar bernuansa romantis, bagaimanapun sangat berimbangan dengan maksud perjuangan di sebaliknya. Romantis tidak berdiri secara berasingan, tetapi bergerak seiringan antara cinta dan perjuangan.

Selamat Tinggal Bungaku yang dicipta pada 1948 antara karya agung Johar yang memancar maksud kecintaan pada tanah air. Ini sebuah roman perjuangan hebat yang terhasil pada era perang. Lagu itu dengan sendirinya menjadi penanda zaman kebangkitan anak watan.

Ketika lagu ini dicipta, bayang kemerdekaan masih terlalu jauh dan tidak terjangkakan. Bagaimanapun, semangat anak watan untuk bangkit melawan penjajah berkumandang dalam Selamat Tinggal Bungaku.

Lagu memang satu bentuk karya seni yang memberikan rasa terhibur dan ketenangan. Menikmati lagu-lagu yang sedemikian adalah satu pengalaman bersifat spiritual dan filosofikal.

Lagu-lagu roman perjuangan ini juga adalah pengalaman yang merentas jiwa pelbagai lapisan khalayak. Ketika tanah air menjadi rebutan penjajah, irama dan lagu menjadi wadah kebangkitan, semangat dan penawar kekecewaan. Di sinilah hadirnya manusia hebat seperti Johar yang menyampaikan dalam bahasa muzik sejagat.

Hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri. Menghayati lagu-lagu seperti Banjaran Titiwangsa, Gunung Kinabalu membuatkan kita berkata, “Inilah hujan emas di negara sendiri yang tidak mungkin diabaikan.”

Malah hati seperti berbisik, “Oh, indahnya tanah airku” sebaik selesai menghayati lagu Banjaran Titiwangsa, sebuah hubungan horizontal manusia dengan alam dan vertikal antara manusia dengan Yang Maha Esa.

Biarpun Johar telah hilang dari pandangan, peninggalannya terus memberi manfaat dan memimpin penghayatan kita terhadap tanah air. Lagu-lagunya adalah karya besar yang tidak tertewas oleh peredaran zaman atau luput dalam sejarah panjang.

Selain meninggalkan khazanah muzik yang sangat bernilai, Johar juga mewariskan bakat kepada anaknya, Khairil Johari Johar, seorang pencipta lagu yang juga ahli akademik dalam bidang muzik. Khairil Johari membuktikan kuah tumpah ke nasi, ciptaan beliau bawa kelainan berbanding yang lain.

Pesan bijaksana orang tua-tua, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Johar tidak setakat meninggalkan nama tetapi irama yang syahdu dan pesan-pesan berharga yang membuatkan kita terasa betapa indahnya tanah air yang tidak ada duanya ini. – UTUSAN

PENULIS ialah Editor Kuseman.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×