Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid kembali kepada Pencipta-Nya, Selasa lalu. Allahyarham merupakan pakar ekonomi negara. Bermula dengan kerjaya sebagai pensyarah ekonomi di Universiti Malaya sekitar 1970-an, beliau mula menjalankan penyelidikan berimpak tinggi ketika itu. Walaupun tanpa jurnal berimpak tinggi, beliau tetap dimahkotakan sebagai seorang pakar ekonomi tersohor.
Minat yang amat mendalam untuk membantu orang Melayu membuahkan banyak sumbangan dalam menaik taraf ekonomi kaum itu khususnya dan memperkasa ekonomi seluruh rakyat secara umumnya. Pemergian Ungku Aziz merupakan satu kehilangan besar kepada seuruh rakyat. Ibarat sebutir permata yang bersinar, jasa beliau amat besar kepada negara.
Rakyat tertunggu-tunggu siapakah yang akan menggantikan beliau selepas ini? Rakyat mengharapkan yang patah akan tumbuh dan yang hilang akan berganti. Lantaran itu, pemergiannya adalah kehilangan sebutir permata yang amat berharga. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya.
Antara sumbangan besar Ungku Aziz adalah penubuhan Tabung Haji dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).
BAWAH BANTAL
Melalui penyelidikan bertajuk Mobilisation of Domestic Savings in South East Asia, beliau mendapati keperluan untuk menubuhkan satu bentuk dana bagi menjaga hal-ehwal simpanan dan tabungan orang Melayu yang halal dan mampu menaik taraf ekonomi mereka. Ketika itu, orang Melayu menyimpan wang dengan cara yang kurang cekap. Bagi mengelak riba yang ditegah Islam, mereka menyimpan wang di bawah bantal, tabung ayam.
Menurut Ahmad Nazri Abdullah, seorang penyelidik Melayu dan tanah, ketika itu orang Melayu sanggup menjual tanah, rumah untuk menunaikan ibadah haji ke Mekah atau mengadakan kenduri kahwin anak. Malangnya, apabila pulang dari Mekah, mereka kehilangan tanah, rumah. Akibatnya, mereka jatuh papa kedana.
Setelah penyelidikan berkenaan siap, lengkap dengan cadangan untuk membantu orang Melayu, kerajaan menubuhkan dana yang kemudiannya dinamakan Tabung Haji. Sehingga kini, Tabung Haji berjaya menaik taraf ekonomi berjuta-juta orang Melayu selain membantu menguruskan jemaah haji, memajukan beribu-ribu hektar tanah ladang dan membantu anak-anak mereka melanjutkan pelajaran.
Begitu juga dengan penubuhan Angkasa yang ditubuhkan melalui saranan beliau pada 1971. Pada 2018 sahaja, perangkaan sektor koperasi di negara kita menyumbang hasil sebanyak RM22 bilion, nilai aset RM140 bilion, RM17 bilion saham dengan lebih enam juta ahli dan lebih 14,000 koperasi berasingan di seluruh negara. Sudah pasti manfaat yang diterima rakyat amat besar sekali.
Kejayaan Angkasa begitu menyerlah dan berupaya menuju masa hadapan yang cemerlang dengan begitu bergaya melalui perancangan strategik untuk mencapai hasrat kerajaan menyumbang RM50 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020. Pendekatan melalui lapan tonggak perancangan strategik berkenaan adalah perkhidmatan kewangan, peruncitan, pelancongan dan kesihatan, pertanian, pembangunan hartanah, perladangan, inovasi dan teknologi serta pembangunan komuniti.
Setelah mengamati kejayaan kedua-dua gergasi ekonomi di negara kita, mari kita toleh ke belakang sekejap dan menilai masa lalu demi membentuk ruang dan peluang masa hadapan.
Nampaknya tidak kurang juga gergasi ekonomi yang kecundang. Akibat silap percaturan dan kecurangan pengurusan, terdapat gergasi ekonomi yang parah dan rebah. Mereka dibebani hutang piutang dan ada yang ibarat hidup segan mati tak mahu. Ditambah pula masalah urus tadbir kurang cekap dan salah laku, ada gergasi ekonomi yang terlibat dengan rasuah dan salah laku.
Malahan, ada yang sedang diintai Badan Pencegah Rasuah (sekarang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Di manakah silapnya ?
BUAH FIKIRAN
Di tengah-tengah keadaan terumbang-ambing dengan ombak Covid-19 yang melanda negara dan masih belum reda, kita didepani pula sengketa politik dan kekalutan ekonomi. Namun, tanpa membuang masa kita perlu terus harungi segera demi negara tercinta. Biduk lalu kiambang bertaut. Tumpukan perhatian sepenuhnya untuk penyatuan senario politik dan memulihkan ekonomi negara. Belajarlah daripada sejarah dan kesilapan masa lalu.
Rakyat penuh yakin, golongan cendekiawan dan pakar yang ada mampu memberi sumbangan buah fikiran dan tenaga untuk memulihkan keadaan dan seterusnya memajukan negara. Majlis Profesor Negara yang bertukar menjadi Akademi Profesor Negara mempunyai ramai pakar dalam pelbagai bidang yang diperlukan negara. Mereka mempunyai kebitaraan dalam bidang tujahan masing-masing setaraf pakar luar negara. Sampai masanya tenaga profesional mereka perlu digembleng untuk memajukan negara. Mereka mampu mencipta pelbagai bentuk inovasi dalam banyak bidang kebitaraan. Mereka bukan sekadar berkokok dan berteori semata-mata.
Barangkali, sudah sampai masanya Tabung Haji kedua ditubuhkan. Mungkin juga Angkasa kedua perlu diperkenalkan. Begitu juga Universiti Wakaf, Bank Wakaf, Akta Wakaf dan sebagainya. Tidak dilupai Bank Islam ketiga dan seterusnya. Banyak perundangan yang sudak lapuk dan perlu dipinda, dijumud atau diharmonikan. Hala tuju institusi pendidikan, kewangan, keagamaan, kesihatan dan sebagainya perlu disemak semula dan diperkasakan. Modal insan perlu disuntik dengan kefahaman baharu selaras keperluan semasa. Fahaman kapitalis ternyata sudah lapuk dan ketinggalan zaman.
Begitu juga dengan sektor pembuatan berteknologi tinggi. Kita perlu mengembleng tenaga pakar untuk punya helikopter sendiri, kereta keluaran sendiri yang setara BMW dan Mercedes. Kita belum punyai jentera-jentera pembinaan berat sendiri. Tidak juga dilupai peralatan canggih untuk kegunaan sendiri dan boleh dieksport ke luar negera semua peralatan canggih dalam sektor pertanian, perladangan, kesihatan, pergigian dan sebagainya. Sesungguhnya masa hadapan semakin mencabar. Justeru,sekiranya kita tiada perancangan yang mapan, bermakna kita sedang merancang untuk gagal seterusnya.
PROFESOR Dr Ismail Omar ialah Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (Pertama) serta pensyarah bidang tanah dan wakaf di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.










