Malayali gigih pertahan jati diri - Utusan Malaysia

Malayali gigih pertahan jati diri

PENGANUT Hindu Malayali melaksanakan upacara Bali Tharpanam di Pantai Pattinapakkam, Chennai, India pada 31 Julai 2019. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perkara 10 dalam Perlembagaan Persekutuan menjamin hak orang ramai untuk bersuara, berhimpun secara aman dan berpersatuan.

Mengikut sejarah, Enakmen Pertubuhan diperkenalkan oleh penjajah British pada 1899 dan menjadi asas kepada Akta Pertubuhan 1966 (Akta 13) yang diguna pakai sehingga kini.

Masyarakat Malayali merupakan kumpulan minoriti kaum India di negara ini sejak lebih 200 tahun dahulu. Bagi menjalin silaturahim dalam kalangan orang Malayali yang berasal dari pelbagai wilayah di Kerala, India, beberapa persatuan pernah ditubuhkan di Malaya dan Singapura.

Pertubuhan pertama seumpama itu di luar India ialah Kerala Mahajana Sangam yang diasaskan di Singapura pada 1917, iaitu lebih 100 tahun dahulu.

Setahun kemudian, namanya ditukar kepada Malayalee Association dan didaftar secara rasmi. Pada 2006, namanya ditukar lagi kepada Singapore Malayalee Association dan masih aktif sehingga kini.

Singapore Malayalee Hindu Samajam pula ditubuhkan pada 1926 bagi menguruskan mayat orang Malayali yang meninggal dunia di Singapura, Johor dan Melaka. Ahli persatuan terdiri daripada pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Pelabuhan Singapura dan penoreh getah.

Antara aktiviti utama persatuan komuniti Malayali sejak dahulu adalah sambutan Onam dan Vishu yang merupakan tradisi turun-temurun. Turut diadakan ceramah berkaitan perkembangan bahasa dan sastera Malayalam serta sejarah komuniti Malayali di Malaya.

Pada 1934, penyair terkenal Kerala, Vallathol Narayana Menon, berkunjung ke Malaya dan Singapura. Persatuan komuniti Malayali tidak melepaskan peluang mengatur beberapa sesi pertemuan dan ceramah bersama beliau.

Bagi memastikan generasi muda berpeluang mempelajari bahasa ibunda, Singapore Malayalee Hindu Samajam memulakan kelas malam pada 1939. Malah, pada 1946, sebuah sekolah Malayalam pernah dibuka di Segamat dan diiktiraf Jabatan Pelajaran Johor.

Terdapat juga persatuan orang Malayali dengan premis sendiri di Johor Bahru pada 1920-an. Persatuan ini dipercayai menjadi asas kepada penubuhan Persatuan Malayalee Johor Bahru pada 1985.

Komuniti Malayali pada masa dahulu lebih tertumpu di Singapura, Kuala Lumpur, Ipoh, Johor Bahru dan Pulau Pinang. Akhbar bahasa Malayalam, iaitu Malaysia Malayalee terbit sebagai akhbar mingguan di Melaka pada 1920-an. Kemudian, ia diterbitkan sebagai akhbar harian di Singapura sehingga Disember 1988.

DRESSER

Walaupun tidak ramai orang Malayali di Trolak, Perak, Malaya Malayalee Association ditubuhkan di sana pada 1922. Sebuah dewan disewa untuk dijadikan pejabat dan tempat aktiviti persatuan.

Orang Malayali di seluruh Malaya, sama ada ahli atau bukan ahli persatuan, boleh menggunakan kemudahan yang disediakan.

Selain acara kebudayaan dan permainan tradisional, Malaya Malayalee Association turut memulakan kempen pada 1923 untuk membantu mencari kerja bagi krani (kerani), conductor (penyelia ladang) dan dresser (pembantu perubatan) keturunan Malayali yang menganggur.

Lazimnya, buku-buku sejarah dan kajian kaum India memperkatakan mengenai komuniti Malayali yang berpendidikan dan memegang jawatan agak tinggi di Malaya. Sebenarnya, terdapat juga ramai orang Malayali yang menjadi buruh dan penoreh di ladang getah pada masa silam.

Sebagai minoriti India paling kecil di Malaya, komuniti Malayali sejak dahulu mencari peluang untuk bertemu dan mengeratkan silaturahim. Malayalee Reading Room yang pertama di negara ini diasaskan di Ipoh pada 1931. Ia menyediakan akhbar, majalah dan buku bahasa Malayalam untuk bacaan umum.

Bilik bacaan itu juga menjadi tempat perbincangan, majlis ilmu dan acara kebudayaan Malayali. Individu kaum India seperti Tamil dan Telugu juga diterima menjadi ahli bersekutu tetapi tidak ada hak mengundi.

Menjelang 1950-an, terdapat sekitar 20,000 orang Malayali di Tanah Melayu. Mereka lebih tertumpu dalam bidang pekerjaan di jabatan kerajaan, jabatan pertahanan, firma perniagaan, ladang getah, majlis perbandaran dan majlis perundangan.

Walaupun rata-rata orang Malayali di Tanah Melayu sudah mampu menguasai bahasa Tamil, mereka masih gigih mempertahankan identiti dan jati diri. Maka, pada 1950-an menyaksikan kemunculan beberapa lagi pertubuhan khusus bagi komuniti ini.

Persatuan Malayali Malaysia Utara ditubuhkan pada 1951 bagi memenuhi tuntutan sosial dan kebudayaan generasi baharu komuniti Malayali di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. Terdapat juga Kerala Samajam di Seremban, Kuala Lumpur dan tempat-tempat lain bagi memelihara budaya orang Malayali.

Semakan di portal rasmi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia menunjukkan ada 28 pertubuhan berdaftar bagi komuniti Malayali di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Masing-masih terus berusaha mempertahankan identiti, jati diri dan hak komuniti Malayali di Malaysia.

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×