KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara mengesahkan telah menerima dan sedang meneliti kertas siasatan membabitkan dakwaan wang RM1 juta dalam akaun Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd Ghazali yang tidak dapat dijelaskan.
Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menjawab demikian sebagai respons kepada kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa agensi itu telah menyerahkan laporan siasatan tersebut kepada Jabatan Peguam Negara pada 18 Mei lalu dan kini menunggu arahan selanjutnya.
Idrus bagaimanapun tidak memperincikan tempoh bakal diambil pihaknya untuk meneliti siasatan berkenaan.
“Pihak saya sedang meneliti kertas siasatan tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Terdahulu, SPRM memaklumkan pihaknya selesai menjalankan siasatan berkaitan kes Mohd. Nazlan yang dimulakan sejak Mac lalu.
Siasatan tersebut seperti melengkapkan dengan mengumpulkan bukti-bukti berkaitan kontroversi pemilikan wang RM1 juta yang tidak boleh dijelaskan mengikut panduan dan prosedur ditetapkan.
Pada 23 April lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan bahawa agensi itu memulakan siasatan terhadap Mohd. Nazlan.
Siasatan tersebut susulan blogger Raja Petra Kamarudin yang mendakwa Mohd. Nazlan yang terlibat dalam kes rayuan SRC International membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai konflik kepentingan.
.
Susulan itu pada 21 April, Mohd. Nazlan membuat laporan polis berhubung satu artikel mendakwa beliau sedang disiasat kerana wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun bank miliknya.
Mohd. Nazlan adalah hakim kes perbicaraan yang mensabitkan kesalahan terhadap Najib berhubung kes SRC International, pada 28 Julai 2020. – UTUSAN











